Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Perdana Menteri mengkaji semula masalah siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang digantung hampir tiga bulan.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu, Dr. Tan Seng Giaw berkata, ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membantu badan itu meneruskan siasatan tanpa sebarang gangguan.
Katanya, siasatan terganggu apabila Perdana Menteri mengambil empat anggotanya, termasuk Pengerusi, dengan melantik mereka sebagai menteri dan timbalan menteri baru-baru ini.
"Ia belum pernah terjadi sebelumnya dalam demokrasi Parlimen. Oleh itu, PAC menghadapi kesulitan dalam siasatan ke atas 1MDB.
"Sebagai penjaga Parlimen, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin memutuskan prosiding PAC digantung hingga akhir Oktober 2015," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Seng Giaw, isu 1MDB dan sumbangan derma politik sebanyak RM2.6 bilion telah menarik perhatian dunia dan secara umum, masyarakat mahukan kebenaran.
"PAC sedang mencari apa yang sebenarnya berlaku," jelasnya.
Menurutnya, peraturan tersedia Parlimen adalah memastikan PAC boleh meneruskan fungsinya dalam sebarang keadaan politik.
No comments: