Barisan Nasional (BN) melanggar undang-undang pilihan raya sekiranya ia membelanjakan RM2.6 bilion untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, kata Rafizi Ramli.
Setiausaha agung PKR itu juga bertanya bagaimana dengan perbelanjaan kempen sebegitu besar BN masih gagal memenangi kembali Selangor, kalah besar di Pulau Pinang dan gagal merampas Kelantan.
“Jika RM2.6 bilion ini diagihkan kepada calon dan dibelanjakan sebagai kempen pilihan raya, perbelanjaan calon BN sudah tentu melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang ditetapkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, jika separuh daripada jumlah itu dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi kerusi Parlimen, setiap calon BN membelanjakan sekitar RM5.8 juta dalam PRU13.
Ini bermakna, mereka melanggar peraturan pilihan raya dan kerusi mereka dimenangi secara tidak sah, kata Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu mengulas dakwaan BN yang ia perlu berbelanja hingga RM2.6 bilion untuk kempen pilihan rayanya pada 2013.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin berkata, jumlah itu disalurkan kepada akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sumbangan politik, dan bukannya wang dari pelabur negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa sebelum ini.
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan muncul di kaca televisyen kerajaan TV1 malam tadi, mengatakan parti itu perlu dana kempen yang besar seperti itu kerana ia tidak lagi mengawal negeri utama seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Dalam kenyataannya, Rafizi juga bertanya mengapa Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tahu tentang dana itu jika benar ia digunakan untuk parti.
Muhyiddin, yang juga mengkritik Najib berhubung dana itu, dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai.
"Jika benar RM2.6 bilion itu digunakan untuk kempen PRU13, kenapakah BN kalah teruk di kubu-kubu pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang?
"Sekiranya RM2.6 bilion ini diagihkan kepada 1.7 juta pengundi di Selangor, setiap pengundi menerima RM1,500 seorang dan BN boleh membeli kemenangan di Selangor dalam PRU13," kata Rafizi.
"Soalan-soalan sebegini akan terus berlegar di kalangan rakyat kerana penjelasan yang diberikan setakat ini, terutamanya oleh Rahman tidak masuk akal."
sumber
No comments: