» » Kabinet bincang sidang khas Parlimen dan lantik pengerusi baharu PAC hari ini


Jemaah Kabinet akan bermesyuarat hari ini sama ada satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan bagi melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, mesyuarat Kabinet akan menentukan sama ada sidang khas atau pengerusi baharu PAC akan dilantik pada sidang Parlimen, Oktober ini.

"Kabinet akan memutuskan jika pelantikan dibuat dalam satu sidang khas atau apabila Parlimen bersidang seperti biasa," katanya kepada akbar bahasa Inggeris, The Star.

Semalam, bekas ahli PAC Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa pengerusi baharu dilantik dengan segera bagi menjawab isu yang "bermain dalam fikiran" rakyat.

Beliau yang kini timbalan menteri luar berkata, pelantikan itu perlu diutamakan berbanding seruan lain berkenaan PAC kerana pendengaran jawatankuasa itu terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Laporan Ketua Audit Negara tertangguh pada masa sekarang.

"Yang penting pelantikan pengerusi sebab lagi lambat ia ditangguhkan, ia akan menjadikan isu ini hangat diperdebatkan.

"Laporan Interim Ketua Audit Negara sudah dibentangkan dan ia sekarang dalam proses menyiapkan laporan muktamad.

"Namun, pembentangan laporan interim ini perlu kepada prosiding PAC. Sebahagian besar prosiding itu sudah dilaksanakan namun ada sebahagian besar yang memerlukan penelitian dan pemerhatian segera bagi kita memberi keyakinan kepada rakyat," katanya.

Beliau turut menggesa sidang Parlimen khas bagi tujuan itu diadakan dengan segera.

"Kalau boleh buat dalam bulan ini, jangan tunggu sampai Oktober.

"Kalau kita tunggu sampai Oktober, maknanya kita biar isu yang mendasari keresahan rakyat ini menimbulkan banyak spekulasi dan fitnah," katanya.

Reezal bersama Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini merupakan anggota PAC daripada Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai timbalan menteri dalam rombakan Kabinet pada bulan lalu.

Reezal dilantik sebagai timbalan menteri luar dan Mas Ermieyati dilantik menjadi timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan sementara Nur Jazlan kini timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang lagi ahli PAC, Datuk Wilfred Madius Tangau kini dilantik menteri sains, teknologi, dan inovasi.

Sebelum ini, jawatankuasa bi-partisan itu dianggotai 13 ahli, merangkumi 8 daripada BN dan 5 daripada pembangkang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .