» » Hanya pengunduran Najib Razak dan Rosmah Mansor sahaja cara untuk pulihkan Ringgit


Datuk Seri Najib Razak perlu meletakkan jawatan bagi memulihkan kadar tukaran matawang ringgit yang kini terus merosot, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Beliau mendakwa, menurut data semasa, ekonomi negara sepatutnya tidak seteruk sekarang, namun sikap Najib dalam mengendalikan skandal wang RM2.6 bilion dalam akaun banknya tidak meyakinkan pelabur asing melabur di Malaysia.

"Saya tidak kata ekonomi kita baik. Tetapi, seteruk-teruk ekonomi kita, matawang ringgit tak sepatutnya jatuh sampai AS$1 bersamaan RM4.

"Sebabnya adalah, Najib dan (isterinya Datin Seri) Rosmah (Mansor)," katanya pada ceramah #SelamatkanMalaysia #SokongSPRM di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya malam tadi.

"Apabila kita ada perdana menteri yang tidak boleh jawab dengan rakyat, kenapa ada RM2,600 juta dalam akaun dia, pelabur asing tengok, dia akan cakap, ini gilakah?

"Turun Najib, tiada Rosmah, pelabur yang takut itu akan datang balik ke Malaysia dan matawang kita akan naik," kata Rafizi.

Kenyataan itu dibuat Rafizi selepas Najib semalam menyalahkan "mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan" dalam negara sebagai punca kemerosotan nilai ringgit.

Rafizi berkata, Najib sememangnya tidak akan pernah faham yang beliau perlu berundur, oleh itu beliau menyeru orang ramai menyertai himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos ini bagi menyatakan protes mereka.

"Kalau harap Najib faham sendiri, Najib tidak akan faham.

"Jadi kita kena desak sampai telinga tebal Najib jadi nipis dan bibir merah jambu Najib bertukar warna biru," kata Rafizi kepada kira-kira 150 orang hadirin ceramah.

Sementara itu, pengarah pilihan raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam ceramah sama, menyifatkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai "korban pertama" skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun tegasnya, reaksi Muhyiddin selepas dipecat Najib memberi gambaran yang orang ramai tidak boleh berharap kepada Umno bagi menyingkirkan Najib.

"Muhyiddin (sewaktu dipecat) tanya, saya ada dalam Kabinet atau tidak, tapi Najib tidak jawab, dia cuma geleng walaupun dia pahlawan Bugis," katanya sinis, memetik keadaan yang diceritakan Muhyiddin kepada media, ketika Najib memecat beliau hujung bulan lalu.

Menurut Saifuddin, sejarah menunjukkan hanya Datuk Seri Anwar Ibrahin sahaja berani melawan ketika dipecat, kerana beliau tiada pekung mahu disorok ketika memegang jawatan kerajaan.

"Yang lawan, Anwar sahaja. (Bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad) kata, kamu berhenti atau aku pecat kamu. Tetapi, Anwar kata saya akan lawan.

"Anwar kemudian masuk penjara 7 tahun. Bebas sekejap, kemudian masuk penjara lagi 5 tahun. Muhyiddin tidak buat macam itu (melawan). Anwar dia tidak ada perkara yang hendak disembunyikan," kata Saifuddin.

PKR semalam turut mengadakan majlis solat hajat memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diberi kekuatan dalam menjalankan siasatan terhadap wang dalam akaun peribadi Najib.

Acara yang turut berlangsung di tempat sama selepas solat Maghrib itu menarik kehadiran kira-kira 30 orang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .