Bekas ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa pengerusi baharu dilantik dengan segera bagi menjawab isu yang "bermain dalam fikiran" rakyat.
Beliau yang kini timbalan menteri luar berkata, pelantikan itu perlu diutamakan berbanding seruan lain berkenaan PAC kerana pendengaran jawatankuasa itu terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan ketua audit negara tertangguh pada masa sekarang.
"Yang penting pelantikan pengerusi sebab lagi lambat ia ditangguh, ia akan menjadikan isu ini hangat diperdebatkan.
"Laporan interim ketua audit negara sudah dibentangkan dan ia sekarang dalam proses menyiapkan laporan muktamad.
"Namun, pembentangan laporan interim ini perlu kepada prosiding PAC. Sebahagian besar prosiding itu sudah dilaksanakan namun ada sebahagian besar yang memerlukan penelitian dan pemerhatian segera bagi kita memberi keyakinan kepada rakyat," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut menggesa sidang Parlimen khas bagi tujuan itu diadakan dengan segera.
"Kalau boleh buat dalam bulan ini, jangan tunggu sampai Oktober.
"Kalau kita tunggu sampai Oktober, maknanya kita biar isu yang mendasari keresahan rakyat ini menimbulkan banyak spekulasi dan fitnah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan jawatankuasa memilih ahli PAC dirombak.
Menurut Reezal, orang ramai sering bertanya kepadanya bilakah PAC akan memanggil personaliti-personaliti utama dalam 1MDB.
"Saya pergi mana-mana pun orang tanya topik utama iaitu bilakah Arul (Kanda), presiden (1MDB) sekarang dan dahulu serta ahli lembaga pengarah yang sekarang dan dahulu akan dipanggil?
"Inilah isu utama yang rakyat mahu tahu.
"Ini juga akan memudahkan kerajaan merungkaikan pelbagai dakwa-dakwi pelbagai pihak bagi membolehkan semua pihak menentukan kebenaran," katanya.
Reezal bersama Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini merupakan anggota PAC dari BN yang dilantik sebagai timbalan menteri dalam rombakan Kabinet bulan lalu.
Reezal dilantik sebagai timbalan menteri luar dan Mas Ermieyati dilantik menjadi menjadi timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan sementara Jazlan kini timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Seorang lagi ahli PAC, Datuk Wilfred Madius Tangau kini dilantik menteri sains, teknologi, dan inovasi.
Sebelum ini, jawatankuasa bi-partisan itu dianggotai 13 ahli, merangkumi 8 daripada BN dan 5 daripada pembangkang.
No comments: