» » Aktivis bimbang masa depan Malaysia selepas pertukaran serta-merta pengarah SPRM yang sedang menyiasat skandal 1MDB


Aktivis mengecam tindakan memindahkan 2 pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPN).

Bekas diplomat, Datuk Noor Farida Ariffin menyifatkan tindakan itu sebagai mengejutkan dan boleh mengancam keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negara.

Noor Farida yang juga ahli Kumpulan Tokoh Melayu (G25) berkata, berdasarkan peristiwa yang berlaku baru-baru ini termasuk pemecatan peguam negara secara tiba-tiba dan penangkapan anggota pasukan petugas khas tidak cukup membuatkan rakyat Malaysia untuk melupakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya dengar kedua-dua mereka dipindahkan ke bahagian pentadbiran di JPM.

"Anda tidak perlu untuk menjadi seorang saintis roket untuk membuat kesimpulan yang motif di sebalik perpindahan mereka adalah untuk meneutralkan dan menghalang mereka daripada menyiapkan tugas menyiasat 1MDB," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu mesej WhatsApp.

Pengarah (Operasi Khas) SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan semalam ke JPM serta merta.

Kedua-duanya dijangka melaporkan diri di jabatan itu pada Isnin ini.

Bahri begitu lantang dalam kenyataan beliau terhadap pihak polis berhubung tindakan pasukan keselamatan itu yang melakukan siasatan ke atas SPRM susulan kebocoran dokumen sulit kerajaan membabitkan 1MDB oleh agensi anti-rasuah itu.

Peguam yang juga Pengarah Eksekutif Liberty Eric Paulsen turut menyokong pandangan Noor Farida sambil mengatakan yang beliau bimbang Malaysia akan mudah terjerumus ke peringkat sebuah negara yang gagal.

Bagaimanapun katanya, ketika negara dikejutkan dengan pelbagai peristiwa yang melanda baru-baru ini, beliau sudah menjangkakan perkara itu biarpun SPRM berada dalam pemerhatian dengan beberapa penyiasatnya ditangkap dan pejabat mereka digeledah.

"Jelas sekali ini adalah satu penyalahgunaan kuasa, menghalang dan mengganggu siasatan SPRM tidak boleh diterima dalam mana-mana negara moden dan demokratik yang menghargai kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan berakauntabiliti," katanya.

Paulsen berkata di sebalik negara ditadbir mengikut undang-undang yang dilaksanakan oleh institusi negara merdeka, Malaysia menyaksikan satu pemerintahan kukur besi "di mana apa sahaja masalah boleh berlaku".

Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir berkata beliau sedih apabila mendengar berita itu, terutamanya selepas baharu saja datang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bersama aktivis lain bagi menyatakan sokongan kepada agensi anti-rasuah itu.

Bahri adalah salah seorang daripada 7 pegawai yang disoal siasat oleh pihak polis sejak minggu lalu, di mana pasukan keselamatan itu memberi tumpuan kepada dakwaan kebocoran maklumat 1MDB di tengah-tengah siasatan ke atas penyelewengan dana daripada firma pelaburan tersebut.

Beliau membayangkan terdapat tangan-tangan tersembunyi dalam tindakan polis walaupun pihak polis sudah menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia hak mereka untuk menjalankan siasatan.

Pegawai SPRM sedang disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 kerana membocorkan dokumen kerajaan dan maklumat perbankan.

Pegawai SPRM lain yang ditangkap pihak polis termasuk ketua bahagian forensik SPRM Datuk I G Chandran dan Penolong Pesuruhjaya Kanan Tuan Ruslan Tuan Mat, Timbalan Pengarah Operasi Khas Datuk Tan Kang Sai, bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh dan seorang pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur.

Polis turut menyerbu pejabat bahagian operasi khas SPRM dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairy dengan mengambil dokumen berkaitan siasatan 1MDB.

Polis berkata mereka akan menyiasat anggota pasukan petugas khas yang mengendalikan siasatan ke atas 1MDB, selepas Jabatan Peguam Negara pada 8 Julai lalu mengatakan kebocoran maklumat merupakan satu "perbuatan jenayah umpama menyerahkan dokumen kerajaan kepada negara luar".

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .