Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus meminta maaf kerana bertegas mengatakan "beberapa rakyat Malaysia" didakwa mengarahkan bekas pengarah Petrosaudi International (PSI) Xavier Andre Justo mengubahsuai dokumen berkaitan sebuah transaksi yang digagalkan antara syarikat minyak dan gas itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata DAP.
Ia susulan pendedahan oleh polis Thai mengenai penafian Justo yang dia mengusik dokumen itu selepas ditahan kerana didakwa cuba memeras ugut bekas majikannya.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Zahid, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Putrajaya "memperbodohkan diri sendiri" apabila menegaskan ia "peras ugut melalui emel yang diubahsuai".
Beliau berkata, mereka seolah-olah tidak mampu memahami yang memang tidak wujud perasugut jika e-mel itu "diusik" atau dipalsukan, kerana "peras ugut" yang seperti itu boleh dengan mudah digagalkan dengan menafikan kebenarannya atau kesahihannya.
"Ia kini terbukti satu pembohongan, kerana polis Thailand berkata, Justo mengaku memeras ugut PSI, menggunakan ribuan e-mel dan dokumen yang dicuri dari syarikat itu, tetapi beliau menafikan mengubahsuai dokumen tersebut.
"Kini kebenaran akhirnya jelas, Justo tidak pernah mengusik email dan dokumen PSI.
“Dan kisah beberapa rakyat Malaysia kononnya mengarahkan Justo memanipulasi dan mengubah maklumat yang dicuri daripada bekas majikan beliau hanya semata-mata dibuat-buat dan sebahagian daripada imaginasi, Zahid berhutang penjelasan dan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.
"Bagaimana pembohongan ini boleh terjadi? Adakah ia dipalsukan Zahid sendiri, atau beliau dikelirukan oleh ketua polis negara atau pegawai polis lain tanpa memeriksa kebenarannya?
"Tidakkah seseorang harus mengambil tanggungjawab atas pembohongan ini dan menerima akibatnya?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Akhbar New Straits Times memetik Pesuruhjaya Informasi dan Teknologi Maklumat Polis Diraja Thai Lt-Gen Prawut Thavornsiri berkata pada Khamis, tiada perubahan dibuat ke atas dokumen itu.
"Dia tidak membuat sebarang perubahan kepada dokumen itu dan menghantar dokumen asal (kepada pembeli) dalam bentuk salinan digital," beliau dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, portal berita Malaysiakini melaporkan semalam, polis Thai berkata, perubahan yang dibuat kepada dokumen yang didakwa dicuri oleh Justo dari PetroSaudi, berkaitan usaha sama dengan 1MDB yang digugurkan itu adalah "kecil tetapi penting".
Lim juga membidas NST yang pro-Umno kerana menjalankan "kempen jahat dan palsu" mengenai perkara itu, berdasarkan beberapa laporan.
Justo ketika ini dalam tahanan polis Thailand selepas ditangkap di pulau peranginan Koh Samui bulan lepas.
Beliau dilaporkan dibayar kira-kira RM15 juta untuk meninggalkan PetroSaudi dan dituduh meminta lebih banyak wang dalam usaha memeras ugut syarikat itu berhubung perjanjiannya dengan dana negara 1MDB itu. Beliau dijangka akan didakwa atas tuduhan peras ugut dan pemerasan.
Justo juga dituduh cuba menjual maklumat yang dicuri kepada beberapa individu Malaysia, termasuk seorang pemimpin pembangkang dan ahli Umno, yang masih belum dikenali.
Putrajaya menegaskan, maklumat itu disunting sebelum ia diterbitkan laman web pemberi maklumat Sarawak Report, berdasarkan analisis firma keselamatan siber antarabangsa Protection Group International (PGI) yang diupah PetroSaudi.
Sarawak Report menafikan perkara ini.
sumber
No comments: