Pasukan petugas khas menyiasat syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tuduhan wang didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri tidak perlu mendapatkan nasihat daripada peguam negara sewaktu siasatan berlangsung, kata peguam S.N. Nair.
"Semua agensi yang menyiasat dan jabatan kerajaan mempunyai jabatan undang-undang mereka, justeru hujah ini rapuh dan tidak dapat diterima," kata Nair, seorang bekas pegawai polis Cawangan Khas.
Nair berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan bersama tiga orang anggota tertinggi pasukan khas itu; Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Semalam, ketiga-tiga mereka mengeluarkan kenyataan yang Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak mempengaruhi siasatan yang sedang berlangsung.
Sebaliknya, peranan Gani dalam pasukan itu adalah bagi memberikan panduan dan nasihat undang-undang bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh berlandaskan undang-undang.
Gani adalah anggota keempat pasukan itu yang kini menyiasat dakwaan urus niaga luar biasa dalam 1MDB dan dakwaan penyaluran wang sebanyak US$700 juta (RM2.67 bilion) yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Nair, pendakwa raya tiada kuasa undang-undang ke atas siasatan dan sebarang rujukan kepadanya dianggap sebagai satu campur tangan.
Katanya, agensi menyiasat boleh mendapat nasihat guaman daripada pegawai-pegawai mereka yang layak daripada segi undang-undang dan berpengalaman.
"Seperti SPRM, mereka ada timbalan pendakwa raya yang dipinjamkan dari Jabatan Peguam Negara," katanya menambah, polis juga mempunyai bahagian undang-undang mereka.
Menurut Nair, Bank Negara Malaysia pada masa dahulu juga pernah mendapat nasihat daripada peguam-peguam.
Menurutnya lagi, polis dan SPRM sepatutnya menutup jabatan undang-undang mereka jika mereka perlu merujuk peguam negara secara berterusan bagi nasihat undang-undang sepanjang siasatan berlangsung.
"Siasatan dan dakwaan ibarat minyak dan air, mereka tak boleh dicampurkan," katanya dan menambah prosedur juga menentukan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat pendakwa raya apabila siasatan selesai.
The Malaysian Insider semalam melaporkan bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman menggesa Gani menarik diri daripada pasukan khas itu, bagi memperbaiki persepsi khalayak dan integriti siasatan.
Pandangan Abu Talib juga dikongsi peguam-peguam yang berkata peguam kerajaan itu tidak wajar menyertai siasatan atau menanggung risiko dilihat tidak bebas.
Menurut mereka, prinsip semak dan imbang di antara agensi siasatan dan pendakwa raya perlu dipatuhi demi keadilan semua pihak termasuk orang ramai.
Menurut Abu Talib, peranan pendakwa raya dalam siasatan ini adalah menentukan jika bukti mencukupi bagi mendakwa pesalah, dan ini adalah prinsip imbang periksa yang memastikan keadilan buat semua.
Menurutnya, polis, SPRM dan Bank Negara Malaysia mempunyai kuasa siasatan mencukupi serta undang-undang dan pengalaman bagi melaksanakan tugas mereka tanpa pengawasan peguam negara.
sumber
No comments: