The Edge Financial Daily berkata ia sedia ke mahkamah berhubung artikel-artikelnya tentang Low Taek Jho dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehari selepas menerbitkan berita 4 halaman memperincikan cara 1MDB dan PetroSaudi International berkonspirasi menipu rakyat Malaysia sejumlah AS$1.83 bilion (RM6.9 bilion).
Dalam artikel di laman webnya pada Isnin, harian perniagaan itu mempertahankan berita yang diterbitkannya walaupun 1MDB menafikannya sebagai "kitar semula... tuduhan lama yang tidak pernah dibuktikan".
"Kami mempertahankan berita yang diterbitkan," kata harian itu.
"Kami ingin ulangi perkara yang kami sebutkan sebelum ini iaitu kami mempertahankan semua artikel yang kami terbitkan berkenaan Jho Low dan 1MDB.
"Kami juga nyatakan yang kami sedia ke mahkamah bagi mempertahankan perkara yang kami terbitkan, namun sehingga ke hari ini tiada sesiapa berbuat demikian."
1MDB pada Isnin menyifatkan rencana halaman tengah The Edge bertajuk "Bagaimana Jho Low & PetroSaudi berpakat mencuri wang dari rakyat Malaysia menerusi 1MDB" sebagai "laporan tidak bertanggungjawab".
Dalam satu kenyataan, 1MDB yang kini disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, ia maklum akan "tuduhan" serta "kenyataan tidak berasas" diterbitkan harian perniagaan itu pada Isnin.
"Kami terperanjat tuduhan-tuduhan lama dan tidak terbukti ini dikitar semula sekali lagi sewaktu pelbagai siasatan pihak berkuasa ke atas isu yang dibangkitkan sebelum ini sedang berlangsung," kata dana itu yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.
Dalam nota kepada pembaca, penerbit Ho Kay Tat berkata, akhbar itu mempunyai tanggungjawab awam melaporkan penipuan untuk menipu rakyat Malaysia berbilion ringgit.
Katanya, laporan itu mungkin yang terakhir berkenaan 1MDB dan pihaknya akan menyerahkan apa sahaja yang ada pada mereka kepada agensi yang menyiasat 1MDB.
The Edge Financial Daily dan penerbitan The Edge Weekly diberikan surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri berkenaan laporan tentang 1MDB.
Dalam respons mereka, 1MDB berkata, pihak yang boleh membantu siasatan sepatutnya berbuat demikian berlandaskan undang-undang dan bukan menggunakan "elemen sensasi yang tidak bertanggungjawab dan tidak perlu".
1MDB menarik perhatian ramai pihak ekoran hutang menimbun sebanyak RM42 bilion dalam masa 6 tahun beroperasi, serta tindakannya memecat juruaudit KPMG dan Ernst & Young dalam tempoh itu.
1MDB juga tidak berupaya membayar hutangnya sehingga menimbulkan kerisauan terhadap nota hutangnya yang dijamin kerajaan.
Mutakhir ini, ia mempergiatkan cubaan meraih tunai menerusi penjualan aset kuasa dan tanahnya bagi membantu aliran tunainya yang bermasalah.
sumber
No comments: