Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya pihak berkuasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memastikan 'watak utama' bagi skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangkap.
Bekas ketua pembangkang yang dipenjara itu berkata, tindakan tegas terhadap pihak terbabit perlu diambil bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur memandangkan nilai mata wang ringgit kini merudum.
"Walaupun beberapa tangkapan telah dilakukan, tidak salah untuk terus berasa curiga sehinggalah tindakan diambil terhadap 'watak utama' skandal ini.
"Pihak berkuasa mesti bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti Polis Antarabangsa (Interpol) kerana beberapa 'watak utama' atau saksi kini berada di luar negara.
"Tindakan tegas mesti diambil untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur. Tiada sesiapa yang bersalah, tidak kira betapa tinggi kedudukannya, patut terlepas," kata Anwar dalam perutusan yang disampaikan melalui peguamnya.
Dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendakwa hampir AS$700 juta dana 1MDB disalurkan ke akaun persendirian Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau bagaimanapun menafikannya dan bertindak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut.
Hal demikian mengundang pelbagai reaksi pelbagai pihak sehingga mendorong kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan skandal itu termasuk pihak berkuasa Thailand turut menahan bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo.
Beliau didakwa memeras ugut bekas majikannya pernah menjalinkan bekerjasama dengan 1MDB dan dituduh mengubahsuai salinan emel yang bocor mengenai 1MDB dan rakan kongsi perniagaannya itu.
Semalam, ahli politik pembangkang Tony Pua dan Rafizi Ramli - yang sering membuat kenyataan menganai !MDB - dihalang oleh pihak berkuasa untuk ke luar negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun beberapa individu ditangkap berkaitan skandal 1MDB telah dilakukan, namun kepincangan urus tadbir dana 1MDB masih perlu dijawab oleh kepimpinan BN.
Menurutnya, sejak 2009 lagi, beliau telah membangkitkan isu masalah urus tadbir 1MDB di Parlimen tetapi tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan Umno.
"Skandal ini telah mendedahkan kepincangan urus tadbir dan rasuah di peringkat tertinggi kepimpinan BN yang amat mengejutkan, di mana perdana menteri sendiri didakwa terlibat.
"Kini negara menghadapi kehilangan berbilion ringgit dan rasa malu di kalangan masyarakat antarabangsa; nilai mata wang ringgit merudum dan keyakinan pelabur tergugat.
"Ini mendatangkan kesan kepada kesihatan kewangan setiap rakyat Malaysia dan BN mesti berikan penjelasan," kata tokoh PKR yang pernah menjadi menteri kewangan.
sumber
No comments: