Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook miliknya, suruhanjaya itu berkata, keputusan itu diambil kerana adanya "aduan daripada orang ramai".
Laman web itu disekat mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.
"Laman web itu mempaparkan maklumat yang masih belum disahkan, dan maklumat yang masih dalam siasatan," katanya.
Laman web tersebut tidak boleh diakses dari Malaysia sejak petang ini, walaupun ia masih boleh diakses melalui pelayan proksi.
Pengarang dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu tidak lama lagi.
Laman web itu, yang memainkan peranan penting dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui beberapa pendedahannya, dituduh pihak pro-kerajaan baru-baru ini memalsukan dan mengubahsuai dokumen berkaitan 1MDB.
Sejak akhir tahun lepas, ia menerbitkan satu siri artikel yang memperincikan peranan jutawan Low Taek Jho dalam perjanjian urusniaga 1MDB, aliran wang 1MDB dan juga artikel mengenai begitu banyak wang didakwa dideposit ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Laman web itu, yang berpangkalan di London, pada mulanya ditubuhkan untuk menulis tentang amalan kerajaan negeri Sarawak dan bekas ketua menterinya Tun Abdul Taib Mahmud.
sumber
No comments: