Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pada masa kini terbukti memudaratkan kesihatan penggunanya.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, ini seperti mana hasil penyelidikan jawatankuasa khas yang ditubuhkan kementerian bagi mengkaji perkara tersebut.
Katanya, semua maklumat kajian yang telah dilaksanakan di seluruh dunia termasuk sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikumpulkan oleh jawatankuasa itu untuk kegunaan penyelidikan.
“Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif dan turut dianggotai beberapa pakar perubatan, mengkaji pelbagai aspek mengenai rokok elektronik dan shisha.
“Hasil keputusan dan kesimpulan kajian tersebut telah dibentangkan kepada Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. S. Subramaniam),’’ katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kementerian Kesihatan disaran melakukan kajian terperinci terhadap bahan-bahan yang digunakan untuk membuat perisa rokok elektronik atau vape.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kajian secara terperinci itu boleh mengenal pasti sekiranya betul terdapat bahan terlarang seperti ekstrak ganja atau ketum digunakan untuk menghasilkan perisa rokok elektronik berkenaan.
Tambah Hilmi, pada masa ini, kementeriannya sedang meneliti untuk turut memasukkan rokok elektronik mengikut peraturan sedia ada secepat mungkin agar masyarakat negara ini dapat mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.
“Walau bagaimanapun, pindaan peraturan tersebut masih lagi dalam proses dan memerlukan masa sesuai untuk dilaksanakan,’’ katanya.
No comments: