» » Rakyat Malaysia yang tinggal di Australia buat laporan polis siasat skandal pembelian hartanah


Sekumpulan rakyat Malaysia yang tinggal di Australia akan melaporkan aduan kepada pihak berkuasa di sana susulan tindakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) membeli blok pangsapuri di Melbourne.

Kumpulan itu, Saya Anak Bangsa Malaysia in Australia (SABM Australia), berkata aduan dibuat kepada Lembaga Semakan Pelaburan Asing (FIRB), Bank Rizab Australia dan Pejabat Percukaian Australia.

SABM Australia berkata FIRB patut menyiasat pemilikan asing dan Bank Rizab perlu siasat bagaimana wang berjuta dolar yang dikatakan sebagai rasuah boleh dikirim ke luar negara dengan begitu mudah.

“Dengan sokongan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) di Malaysia, SABM Australia akan melaporkan aduan kepada pihak berkuasa berkenaan di Australia untuk menyiasat dengan segera,” katanya.

Kumpulan itu berkata, jika dakwaan itu dibuktikan benar, “pegawai rasuah dan wang haram mereka” menyebabkan harga hartanah Australia meningkat.

“Ini menyokong kebimbangan Bendahari Persekutuan Australia Joe Hockey mengenai wang asing masuk ke pasaran hartanah yang sedia tinggi hingga menyebabkan Hockey menggesa siasatan lebih ketat dibuat terhadap pelabur asing pada awal tahun ini,” katanya.

Mereka berkata siasatan Australia sangat penting kerana pihak berkuasa Malaysia nampak seperti tidak berminat menyiasat kes itu.

Ia memetik sebagai contoh kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berkata polis tidak akan menyiasat Mara pada masa ini kerana belum ada elemen pecah amanah ditemui.

“Ini amat mengejutkan kerana ia bukan hanya persoalan mengenai pecah amanah. Pihak terbabit jelas dituduh melanggar undang-undang anti penggubahan wang.

“Sungguh mengagumkan apabila polis Malaysia begitu tergesa-gesa isytihar mereka tidak akan terbabit dalam siasatan itu tanpa terlebih dulu melihat kepada sudut penggubahan wang haram,” kata SABM Australia.

Kumpulan itu berkata keberkesanan siasatan Malaysia juga dipertikaikan, memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan mempunyai peranan dalam pembelian itu.

“Skandal ini memberikan imej buruk kepada Malaysia di Australia. Imej Malaysia terjejas di Australia sejak akhir-akhir ini terutama kesan daripada cara Malaysia Airlines mengendalikan tragedi yang menimpa pesawatnya tahun lalu.

“Kita tidak perlukan pegawai yang rasuah menjejaskan lagi imej kita. Tidak lama lagi, pasti slogan Pelancongan Malaysia ‘Malaysia Truly Asia’ memberikan gambaran berbeza terhadap apa yang ada di negara kita,” katanya.

Dalam pendedahan mengenai Mara membeli hartanah pada harga lebih tinggi bagi blok pangsapuri di Melbourne, akhbar The Age melaporkan “sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya” terlebih bayar A$4.75 juta (RM13.8 juta) untuk hartanah itu pada 2013.

Tiga pegawai terbabit didakwa “terlebih bida” untuk Dudley International House, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta) dengan lebihannya dijadikan rasuah untuk pegawai di Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lalu berkata beberapa individu dipanggil untuk membantu siasatan dan penyiasatan masih diteruskan.

Timbalan Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dilaporkan sebagai berkata pihaknya menerima maklumat mengenai perkara itu pada Mac dan membuat profil individu yang terbabit dalam penyelewengan itu.

Susulan itu, katanya, polis Australia melawat pejabat SPRM pada Mei di mana kedua-dua pihak bertukar maklumat dan memulakan siasatan.

Sementara itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dalam satu kenyataan pada Ahad menggesa semua pihak termasuk ahli politik tidak menghakimi terlalu awal berhubung perkara itu.

Badan berkecuali itu berkata SPRM perlu diberi ruang untuk membuat siasatan penuh dan terperinci.

Ia juga mendesak semua pihak bersabar dan mengelak daripada membuat kenyataan mengenai isu itu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .