Peguam Datuk Seri Najib Razak sedang memikirkan tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap The Wall Street Journal (WSJ) selepas akhbar itu mengulangi pendiriannya berdiri teguh di belakang laporannya yang jutaan ringgit dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
Najib akan dinasihatkan langkah berikutnya untuk diambil selepas mereka mengkaji jawapan daripada WSJ dan penerbitnya Dow Jones & Company, kata peguam perdana menteri Wan Azmir Wan Majid kepada The Malaysian Insider dalam satu kiriman teks melalui SMS.
"Saya tidak boleh mengulas perkara ini sehingga saya melihat jawapannya," kata Wan Azmir, yang mengendalikan arahan menghantar surat kepada WSJ itu, sambil menambah beliau kini berada di luar negara.
Dow Jones hari ini berkata ia sudah memberi respons kepada permintaan penjelasan daripada peguam yang mewakili Najib, lapor Malay Mail Online memetik jurucakap penerbit itu.
Jurucakap itu berkata, penerbit itu mempertahankan kesahihan laporannya.
Ini bermakna, tindakan terbaik seterusnya ialah bagi Najib menghantar surat tuntutan meminta penarikan balik dan permohonan maaf dalam tempoh masa tertentu yang dtetapkan, kata peguam SN Nair ketika diminta mengulas.
"Ini prosedur yang beliau perlu terima pakai sebelum memfailkan saman fitnah," katanya.
Yang menjadi perhatian ialah apa yang Najib akan lakukan seterusnya bagi membersihkan namanya yang terpalit dalam dakwaan laporan WSJ bertarikh 2 Julai, mengatakan AS$700 juta (RM2.67 bilion) berlegar di antara beberapa entiti dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum berakhir di akaun bank peribadinya.
Pengkritik Najib menggesa perdana menteri menyaman WSJ bagi menyangkal tuduhan yang dibuat terhadapnya.
Setakat ini beliau menafikan mengambil dana 1MDB untuk kepentingan peribadi, tetapi tidak secara langsung mengulas mengenai pemindahan dana ke akaun beliau itu.
Pada Isnin, Wan Azmir dilaporkan berkata dalam Berita Harian, tindakan WSJ dan Dow Jones yang berdiam diri memberi gambaran ia satu pengakuan bersalah berhubung tuduhan mereka Najib menyalahgunakan dana.
Wan Azmir berkata, jika tiada jawapan diberi akhbar perniagaan itu dan penerbitnya, Najib mempunyai beberapa pilihan undang-undang, termasuk mengeluarkan surat tuntutan.
Peguam Najib sebelum ini menjelaskan surat undang-undang mereka yang dihantar ke WSJ dan penerbitnya, selepas surat itu dikritik peguam lain kerana ia bertujuan mendapatkan penjelasan, bukannya surat yang terang-terangan membuat tuntutan undang-undang.
Minggu lalu, peguam kanan Datuk Hafarizam Harun dari firma undang-undang yang sama berkata, artikel WSJ tidak jelas, sama ada wang yang dilaporkan didepositkan ke dalam akaun perdana menteri adalah dari 1MDB atau bukan, dan mengatakan, perkara itu perlukan penjelasan jika akhbar itu mengaku Najib menyalahgunakan dana.
Perkara itu sedang disiasat pasukan petugas khas kerajaan yang juga menyiasat 1MDB. Ia dianggotai individu yang mengetuai bank pusat, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
Najib dan pejabatnya menafikan dakwaan tersebut, menyifatkannya satu sabotaj politik.
Perdana Menteri turut menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya bersabahat dengan agen asing bagi menjatuhkan pentadbirannya.
sumber
No comments: