Pasukan Petugas Khas yang dianggotai pegawai tertinggi empat agensi kerajaan menafikan campurtangan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam siasatan kes skandal hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pasukan itu berkata, tidak timbul isu Gani (gambar, kanan) mencampuri dan mempengaruhi urusan siasatan, sebaliknya beliau hanya dirujuk untuk mendapatkan panduan dan nasihat bagi memastikan siasatan dikendalikan secara holistik dan mengikut undang-undang.
Mereka berkata, perbincangan antara agensi diadakan dari semasa ke semasa untuk tujuan penyelarasan secara kolektif bagi memastikan kelancaran proses siasatan.
"Ini merupakan satu amalan yang biasa diambil mana-mana agensi penguatkuasa berkaitan kes-kes yang disiasat.
"Pemberian panduan dan nasihat undang-undang sedemikian dalam kes 1MDB adalah sama dan selaras dengan amalan lazim dalam semua kes yang disiasat.
"Dalam hal ini, Peguam Negara amat peka tentang bidang kuasanya sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah," kata pasukan itu dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan dibuat Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Kenyataan dibuat sebagai respons terhadap laporan The Malaysian Insider sebelum ini "Gani Patail tak patut dalam pasukan khas, kata bekas peguam negara" yang mengatakan persepsi umum dan integriti akan meningkat sekiranya Gani keluar daripada pasukan itu.
Pasukan khas itu berkata, siasatan kes ini sememangnya dikendalikan oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara sebagai agensi penyiasat yang berkaitan dan mempunyai skop siasatan masing-masing mengikut peruntukan undang-undang negara.
Katanya, disebabkan itu, Abu Kassim, Khalid dan Zeti Akhtar adalah ketua yang bertanggungjawab di peringkat siasatan masing-masing.
"Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan-kenyataan media sebelum ini, siasatan membabitkan kes 1MDB ini akan dijalankan dengan telus, bebas dan profesional.
"Justeru, Pasukan Petugas Khas juga berharap semua pihak meletakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas Pasukan Petugas Khas ini," katanya.
Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dalam laporan The Malaysian Insider berkata, Gani tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada proses siasatan atau pejabatnya akan dianggap sebagai tidak bebas.
Pasukan petugas khas itu dibentuk pada 4 Julai lalu bagi menyiasat dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan sejumlah besar wang RM2.67 bilion dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak di AmBank di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015.
No comments: