Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat akses rakyat Malaysia daripada melayari laman web pendedah maklumat Sarawak Report, hanya untuk membuka akses ke laman tersebut semula.
Tindakan ini memperlihatkan percubaan kerajaan yang terdesak untuk menyekat pendedahan penting daripada terus tersebar, sementara skandal 1MDB hangat dibincangkan dalam sambutan Aidilfitri tahun ini.
Apa yang lebih membimbangkan, keparahan isu 1MDB ini juga dibuktikan lagi melalui dokumen-dokumen dan pendedahan dari media tempatan dan antarabangsa seperti Wall Street Journal (WSJ), dan The Edge dan barangkali seterusnya menerusi pendedahan laporan Ketua Audit Negara yang masih lagi belum didedahkan kepada awam.
Bukti-bukti yang didedahkan ini seharusnya memaksa Perdana Menteri memberikan penjelasan yang terperinci dan mengambil cuti tanpa ganti sehinggalah siasatan terhadap beliau selesai.
Namun, selain daripada surat meminta keterangan daripada WSJ, rakyat Malaysia masih lagi tidak mendapat apa-apa daripada penjelasan daripada beliau.
Mengapakah perdana menteri masih lagi belum menyaman WSJ, sekiranya fakta-fakta yang dilaporkan oleh media tersebut adalah salah?
Perdana menteri juga tidak menafikan dakwaan yang wang AS$700 juta itu dipindahkan ke dalam akaun beliau. Mengapakah Perdana menteri masih lagi belum menerangkan bagaimanakah jumlah wang yang begitu besar dipindah masuk ke dalam akaun peribadi beliau?
Kewartawanan berunsurkan siasatan membentuk asas kepada kuasa rakyat. Saya menyokong penuh fungsi ini; media yang bebas mampu mengawasi pembaziran dan ketirisan-ketirisan kerajaan.
Media mempunyai sebuah peranan yang penting dalam konsep pemisahan kuasa dalam sesebuah negara demokratik, terutamanya dalam negara yang mencanang ingin menjadi demokrasi yang terbaik di dunia.
Tindakan sekatan ke atas Sarawak Report bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip ini. Penarikan kembali arahan sekatan ini adalah bukti keputusan sebelum ini dilakukan secara terburu-buru.
Saya berpendapat hanya dalam kes-kes ancaman serta hasutan keganasan boleh disekat daripada diakses oleh rakyat.
Perdana menteri tidak boleh mengelakkan diri daripada bertanggungjawab ke atas tindak-tanduk, serta persoalan-persoalan rakyat.
Alasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kononnya ingin menjaga keselamatan negara dengan menyekat Sarawak Report amat bertentangan sama sekali dengan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara dengan mengutamakan negara sebelum kepentingan peribadi serta individu-individu berkepentingan.
Keselamatan negara memerlukan sebuah jawaban bagaimana perdana menteri mendapat akses terhadap jumlah wang yang begitu tinggi sekali.
Keselamatan negara memerlukan sebuah perlindungan kepada kewangan negara daripada pelaburan yang tidak bertanggungjawab, sekalipun disokong atau dipimpin oleh kerajaan.
Mereka yang didapati bersalah menyalahgunakan kewangan awam perlu dihukum, tanpa mengira setinggi mana pun pangkat mereka dalam kerajaan.
Keselamatan negara juga bergantung pada perlindungan terhadap media, pendedah maklumat serta rakyat kebanyakan - terhadap individu-individu tertentu yang memegang kuasa.
Masa depan Malaysia tidak seharusnya dipergantungkan ke atas survival seseorang individu atau sesebuah parti politik semata-mata.
Keselamatan negara juga seharusnya tidak digunakan sebagai sebuah alasan untuk setiap keputusan yang dilakukan oleh kerajaan, terutamanya dalam menutup skandal-skandal oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pejabat Perdana Menteri yang didapati menggunakan perisian menggodam untuk mengintip ke atas rakyat.
Rakyat Malaysia pada masa ini mengalami kesulitan yang berganda; sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, serta sebuah kerajaan yang tidak mempunyai masalah untuk mengintip ke atas rakyatnya.
Justeru, kami menuntut agar:
i) Pejabat Perdana Menteri memberikan penjelasan terperinci mengenai pembelian perisian menggodam,
ii) MCMC menghentikan penggunaan pendekatan menyekat akses ke sebarang laman web yang kritikal terhadap kerajaan dan menumpukan usaha untuk mengangkat jaminan MSC bahawa tidak akan ada tapisan terhadap internet.
iii) Kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan semua; bermula dengan pendedahan awam laporan awal Ketua Audit Negara ke atas 1MDB.
iv) Peguam Negara mendakwa semua individu yang didapati bertanggungjawab dalam skandal-skandal ini, dan berhenti daripada berlengah-lengah; memberikan ruang untuk teori-teori konspirasi untuk bercambah yang mengalihkan tumpuan daripada jejak kewangan RM2.6 billion (daripada sejumlah RM42 bilion).
- Nurul Izzah -
sumber
No comments: