» » Kejatuhan Ringgit Malaysia jejas keluarga yang ada anak belajar di luar negara


Dengan kejatuhan ringgit paling rendah dalam tempoh 16 tahun, keluarga yang mempunyai anak melanjutkan pelajaran ke luar negara berdepan kemungkinan terpaksa berbelanja lebih daripada apa yang dibayangkan bagi menampung pendidikan mereka.

Paling sukar adalah mempunyai anak yang belajar di luar negara terutama Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, dan terpaksa berbelanja ribuan ringgit lagi apabila nilai ringgit menjunam berbanding dolar AS dan pound sterling UK.

Meskipun ada yang menyifatkan situasi itu masih terkawal walaupun terpaksa melakukan beberapa penyesuaian, mereka bimbang trend penurunan nilai ringgit berterusan akan membawa kepada masalah lebih besar.

Ramesh, bekerja di bahagian pengurusan kanan dalam sebuah syarikat logistik, memberitahu 2 anaknya yang kini belajar di AS terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka.

"Saya meminta mereka mengurangkan perbelanjaan. Saya menasihati mereka lebih berjimat cermat untuk perbelanjaan kelengkapan dan juga memberitahu sekiranya mahu pulang bercuti, mereka perlu berjimat dan membayar tiket sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.

Anak lelaki dan perempuan Ramesh masing-masing mengikuti kursus awal menjadi chiropractor dan ahli geologi di Minneapolis, dan mereka belajar di kolej sama dan tinggal satu rumah.

"Dulu saya membayar hampir AS$35,000 setahun untuk mereka. Ia kira-kira RM120,000 termasuk yuran tuisyen dan perbelanjaan harian.

"Tetapi kini apabila ringgit jatuh, saya perlu membayar kira-kira RM140,000, dengan tambahan RM20,000.

"Dan jika anda bahagikan jumlah itu dengan bulanan, ia memerlukan wang yang cukup besar," katanya.

Ramesh menyimpan sejumlah wang ketika beliau bekerja di Singapura selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Malaysia.

"Jadi kebanyakan wang tuisyen mereka saya gunakan duit daripada akaun Singapura saya. Amat nasib baik kerana mata wang Singapura tidak merosot berbanding AS. Jadi daripada segi itu, tidak banyak peningkatan.

"Tetapi ada juga perbelanjaan lain yang saya perlu bayar menggunakan mata wang ringgit seperti perbelanjaan harian dan insurans perubatan, yang membabitkan jumlah besar," katanya.

Beliau berkata, anak perempuannya baru-baru ini ditawarkan menjadi pembantu tutor di kolej dan itu dapat membantu menampung perbelanjaan.

"Saya juga memberitahu mereka untuk bekerja lebih masa dan cuba mendapatkan biasiswa kerana ada dua adiknya yang akan menyertai mereka belajar di AS pada tahun ini," katanya.

Mike Ngui yang mempunyai seorang anak lelaki belajar kejuruteraan mekanikal di Mechanicsburg, Pennsylvania berkata dia dan isteri mungkin terpaksa membatalkan niat menghadiri majlis graduasi anaknya pada tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, mereka bernasib baik kerana anaknya memperoleh biasiswa kolej yang membayar separuh daripada yuran tuisyen dan asrama kerana tinggal di kampus.

"Anak lelaki saya turut bekerja di kampus ketika cuti semester dan ini membantu dalam perbelanjaan kecil," katanya.

Bekas perunding kewangan itu berkata, berdasarkan kadar semasa iaitu RM3.81 setiap dolar AS, beliau perlu mencari wang lebihan sebanyak RM8,000 pada semester depan untuk menampung yuran tuisyen anaknya.

"Setiap semester saya membelanjakan kira-kira AS$18,000 hingga AS$20,000. Dan baki yang diperoleh semula selepas menerima bantuan kewangan ialah AS$8,000 hingga AS$9,000.

"Invois semester depan akan dikeluarkan beberapa hari lagi dan berdasarkan kadar RM3.81, saya perlu membayar kira-kira RM36,000 hingga RM38,000.

Sementara itu, Ramesh berkata beliau memilih menghantar anaknya belajar di AS kerana mahu mereka belajar berdikari jauh daripada keselesaan di negara sendiri.

Kebimbangan Ramesh adalah sekiranya ringgit terus menyusut, akan memaksa pelajar di luar negara terpaksa berhenti dan kembali ke tanah air.

"Saya masih ingat ketika ramai rakyat Iran belajar di sana. Apabila mata wang mereka (riyal) jatuh teruk pada 2012, ramai terpaksa berhenti dan pulang. Ini kerana mereka tidak mampu menampung perbelanjaan di sana kerana mata wang lemah. Saya tahu ramai yang terpaksa meninggalkan pelajaran dan pulang ke negara asal.

"Saya berharap ia tidak terjadi kepada pelajar Malaysia di luar negara," katanya.

Kadar mata wang ringgit paling akhir diniagakan pada RM3.8 berbanding dolar AS dari 1998 hingga 2005, selepas ditambat berikutan krisis kewangan Asia.

Ringgit adalah mata wang Asia yang paling teruk susut nilainya pada tahun ini, dan ini ditambah dengan dakwaan berterusan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .