» » 'Kami tak boleh diamkan bukti penipuan berbilion ringgit terhadap rakyat Malaysia dalam skandal 1MDB'


The Edge melaporkan dengan meluas mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 dan 2014 ketika entiti milik kerajaan itu dilihat mula berdepan masalah kewangan.

Maklumat yang ada, bagaimanapun, sukar didapati dan terhad kerana laporan audit kewangan tahunannya selalunya lewat.

Wartawan kami menemui pelbagai kenalan dan menyelidik apa sahaja maklumat yang ada dalam usaha mencari kebenaran.

Pada awal tahun ini, kami diberitahu, seseorang bersedia untuk berkongsi maklumat yang akan memberi penerangan tentang usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

Kami tidak diberitahu siapa dirinya sebelum mengadakan pertemuan dengannya.

Individu ini, yang kami tidak akan namakan, menunjukkan kepada kami ribuan e-mel dan lampiran dokumen.

Kami membaca kesemuanya dan yakin akan ketulenannya kerana jumlahnya yang besar dan rangkaian emel yang ada.

Kami kemudiannya menemukan seorang pakar forensik IT yang mengesahkan tidak ada sebab untuk berasa bimbang kiranya dokumen itu mungkin palsu.

Apa yang kami baca mengejutkan kami. Apa yang sepatutnya merupakan satu usaha sama yang membawa manfaat ekonomi kepada negara tidak lebih hanya sekadar satu skim penipuan berbilion ringgit dari Malaysia oleh segelintir kecil rakyat Malaysia dan rakan warga asing mereka.

Pada ketika itu, kami boleh melakukan salah satu daripada dua perkara:

1) Tinggalkan sahaja perkara yang boleh mengundang kontroversi itu dan lupakan, atau

2) Cari segala maklumat yang ada supaya kebenaran dapat didedahkan.

Kami mengambil keputusan untuk mencari kebenaran.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, mereka yang mempunyai maklumat yang boleh membawa kepada kebenaran mesti bersuara dan tidak memalingkan pandangan ke arah lain. Tidak melaporkan perbuatan salah ialah satu jenayah.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berkata mereka ingin mendapatkan kebenaran.

Sebagai sebuah kumpulan media, kami percaya kami perlu memenuhi tanggungjawab awam, tidak kira betapa sukar dan bahayanya ia boleh jadi untuk kami.

Bertemu kenalan untuk mengumpul maklumat adalah apa yang dilakukan profesional media setiap masa dalam mengejar sesuatu bahan cerita. Tidak ada yang salah atau jahat.

Kami tidak terlibat dalam kecurian, kami tidak membayar sesiapa, dan kami tidak mengubahsuai sebarang emel dan dokumen yang diberi kepada kami.

Malah, kami melindungi data yang ada supaya tiada siapa yang boleh mengusiknya. Ini boleh disahkan secara bebas oleh pihak berkuasa.


Ada antara maklumat itu yang kami gunakan dalam artikel yang kami siarkan dalam beberapa bulan lepas. Ada yang terlalu sensitif untuk digunakan. Tiada satu pun artikel kami dicabar kesahihannya oleh sesiapa yang dinamakan dalam berita itu.

Malah, kami percaya artikel kami membantu pelbagai agensi kerajaan dalam melihat kepada isu 1MDB.

Kami tidak ada agenda politik atau konspirasi dalam apa yang kami lakukan. Malah, kami terlibat dengan pelbagai ahli politik dan pegawai kerajaan yang meminta bantuan kami bagi memahami lebih baik apa yang terjadi dan bagaimana keadaan 1MDB hari ini.

Perkara yang paling mudah kami boleh lakukan selepas menemui apa yang kami dapati ialah, tinggalkan semuanya. Mengapa hendak mencari masalah? Tetapi kami tidak boleh berbuat demikian.

Kami pilih mengambil jalan yang sukar, jalan yang kami tahu akan penuh dengan risiko kepada diri sendiri dan kepada organisasi kami, yang kini berdepan kemungkinan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pada hari Isnin, kami menyerahkan dokumen, e-mel yang dicetak dan sebuah cakera padat kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Hari ini, set yang sama diberikan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis. Saya juga turut memberi kenyataan kepada JSJK.

Kami rasa lega apabila pelbagai pihak yang menyiasat, ketua audit negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, BNM, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan peguam negara memberikan komitmen mereka untuk mendedahkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Ia sememangnya menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka kepada rakyat Malaysia untuk melakukan demikian. Seperti mana juga menjadi tanggungjawab kami meneruskan pendedahan berita ini.

- Ho Kay Tat -
Penerbit & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
The Edge Media Group





About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .