Sebuah Umno bahagian di Johor mengakui kewujudan sehelai kain rentang yang mencemarkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang mesyuarat bahagian parti itu bulan depan.
Kain rentang itu, yang menggesa Najib meletak jawatan, ditemui dipasang di Gelang Patah, Johor.
Ia mempunyai logo Umno dan memaparkan gambar presiden Umno memakai Baju Melayu ungu dan songkok dengan kata-kata: "Kami Umno Bahagian Pulai Jaya 2 hilang kepercayaan kepada PM dan jemaah menteri. Kamu wajib letak jawatan, kalau ada maruah atau terima kekalahan PRU14 atas sifat ego dan tamak kamu".
Bermain dengan perkataan dari slogan 1Malaysia Najib, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, di kain rentang itu juga tertulis perkataan: "Poket Didahulukan, Rakyat Dikorbankan".
Difahamkan kain rentang itu diturunkan semalam, tiga hari selepas ia dipasang, tetapi gambarnya yang sempat dirakam tersebar di media sosial dan diedar melalui applikasi perbualan telefon pintar.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Umno bahagian Gelang Patah mengesahkan, kain rentang itu memang benar dipasang, tetapi menekankan ia hanya satu "insiden terpencil".
Cawangan Pulai Jaya 2 itu terletak di dalam kawasan Parlimen Gelang Patah.
Cuba tidak membesarkan kejadian itu, Ketua Umno Gelang Patah Mohammad Khairi A. Malik berkata, bahagian itu ada mengambil inisiatif dengan mengadakan dialog bersama ketua-ketua cawangan bagi menjelaskan isu semasa, termasuk mengenai dakwaan terhadap perdana menteri, sebelum bulan puasa yang lalu.
Beliau berkata, sesi itu bertujuan memastikan ahli di peringkat akar umbi memahami keadaan berhubung isu semasa yang dibangkitkan.
"Kepimpinan bahagian ini sentiasa terbuka untuk ahli menyuarakan pandangan mereka melalui platform seperti sesi dialog.
"Pada mesyuarat bahagian yang akan datang, yang akan diadakan pada Ogos, tidak ada halangan ke atas perwakilan membangkitkan apa sahaja isu yang mereka mahu," katanya yang juga merupakan setiausaha politik menteri besar Johor.
Khairi meminta semua pemimpin dan ahli cawangan di bawah bahagian tersebut memberi tumpuan kepada kerja mereka dan mengukuhkan Umno dengan menjadikan parti itu lebih dekat dengan rakyat dan membantu menyelesaikan isu yang timbul.
Diketuai pengkritik yang dulunya penyokong beliau, iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib mutakhir ini diserang berhubung beberapa dasar pentadbiran beliau dan syarikat yang diilhamkannya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
1MDB, firma pelaburan negara yang ditubuhkan pada 2009, menanggung hutang RM42 bilion dan dikaitkan dengan dakwaan di mana sebahagian daripada dananya digunakan Najib untuk dipindahkan ke akaun peribadinya pada Mac 2013.
Najib menafikan dakwaan tersebut dan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal yang menerbitkan berita itu.
Terdapat juga dakwaan salah laku lain melibatkan 1MDB yang turut didedahkan laman web pemberi maklumat Sarawak Report, yang mengaitkannya dengan ahli perniagaan Malaysia dan sekutu Najib, Low Taek Jho.
sumber
No comments: