» » Jika Najib Razak di pihak yang benar dia akan saman WSJ dan bukannya sekat Sarawak Report


PKR hari ini mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak menafikan atau mengambil tindakan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan berbilion ringgit dipindahkan daripada dana milik negara ke dalam akaun peribadinya.

Naib presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, pembongkaran pelbagai bukti terhadap Najib menuntut penjelasan daripadanya tetapi sehingga kini, perdana menteri terus berdiam diri berhubung isu itu.

"Bukti yang didedahkan ini seharusnya memaksa perdana menteri memberikan penjelasan yang terperinci dan mengambil cuti tanpa ganti sehinggalah siasatan terhadapnya selesai.

"Namun, selain surat meminta keterangan daripada WSJ, rakyat Malaysia masih lagi tidak mendapat apa-apa penjelasan daripadanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Mengapa perdana menteri masih lagi belum menyaman WSJ, sekiranya fakta yang dilaporkan media tersebut adalah salah?

"Perdana menteri juga tidak menafikan dakwaan wang AS$700 juta itu dipindahkan ke dalam akaun beliau.

"Mengapakah perdana menteri masih lagi belum menerangkan bagaimanakah jumlah wang yang begitu besar dipindah masuk ke dalam akaun peribadi beliau?," soal Nurul Izzah.

Kontroversi yang menyelubungi perdana menteri, yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjadi penyebab akses ke laman web pemberi maklumat Sarawak Report itu disekat, kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

"Tindakan ini memperlihatkan percubaan kerajaan yang terdesak untuk menyekat pendedahan penting daripada terus tersebar, sementara skandal 1MDB hangat dibincangkan dalam sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Apa yang lebih membimbangkan, keparahan isu 1MDB ini juga dibuktikan lagi melalui dokumen dan pendedahan dari media tempatan dan antarabangsa seperti The Wall Street Journal (WSJ) dan The Edge, dan barangkali seterusnya menerusi pendedahan laporan ketua audit negara yang masih lagi belum didedahkan kepada awam.”

WSJ dan Sarawak Report mendakwa siasatan ke atas 1MDB yang sarat hutang itu menemui berbilion ringgit didakwa disalurkan ke dalam beberapa akaun peribadi Najib.

Kedua-duanya memetik dokumen daripada siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia.

WSJ berkata, dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) berlegar di kalangan agensi kerajaan, bank dan entiti yang dikaitkan dengan 1MDB sebelum akhirnya dimasukkan ke akaun peribadi Najib dalam 5 deposit berasingan.

Dua hari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan ia mengarahkan pembekal perkhidmatan Internet tempatan menyekat akses kepada Sarawak Report, mengatakan kandungannya mengganggu keselamatan negara.

Menggesa kerajaan membatalkan arahan sekatan itu, Nurul Izzah berkata keputusan SKMM, yang memetik keselamatan negara sebagai alasan, tidak kukuh.

Beliau sebaliknya mendakwa, ia dilakukan bagi melindungi orang tertentu yang mempunyai kepentingan.

"Alasan SKMM yang kononnya ingin menjaga keselamatan negara dengan menyekat Sarawak Report amat bertentangan sama sekali dengan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara dengan mengutamakan negara sebelum kepentingan peribadi serta individu-individu berkepentingan.”

Keselamatan negara, kata Nurul Izzah, memerlukan kewangan negara dilindungi daripada "pelaburan yang tidak bertanggungjawab" dan bergantung kepada perlindungan terhadap media, pendedah maklumat serta rakyat kebanyakan.

“Mereka yang didapati bersalah menyalahgunakan kewangan awam perlu dihukum, tanpa mengira setinggi mana pun pangkat mereka dalam kerajaan.

"Keselamatan negara juga seharusnya tidak digunakan sebagai alasan untuk setiap keputusan yang dilakukan kerajaan, terutamanya dalam menutup skandal oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pejabat Perdana Menteri yang didapati menggunakan perisian menggodam untuk mengintip rakyat.

"Rakyat Malaysia pada masa ini mengalami kesulitan yang berganda: sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, serta sebuah kerajaan yang tidak mempunyai masalah mengintip ke atas rakyatnya."

Nurul Izzah, yang juga pengarah pilihan raya PKR, menuntut Putrajaya mula menjawab soalan yang mendesak berhubung kepentingan negara, termasuk mengenai skandal 1MDB dan mendedahkan kepada umum laporan awal ketua audit negara ke atas firma strategik pelaburan negara itu.

1MDB yang ditubuhkan pada 2009, menanggung hutang RM42 bilion dan juga dikaitkan dengan dakwaan yang sebahagian daripada dananya dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .