Blog "The Benchmark" yang pertama mendedahkan mengenai dokumen pembelian tanah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji, hari ini memberi peringatan kepada pembacanya agar berwaspada dengan kewujudan satu blog "penipu" menggunakan nama yang sama.
Katanya, blog palsu itu memutar belit berita bagi membersihkan syarikat milik Kementerian Kewangan yang sarat dibebani hutang itu daripada sebarang salah laku.
Satu notis yang diletakkan di laman web The Benchmark di http://thebenchmark0.blogspot.com berkata terdapat satu "rekaan jahat" blog itu menggunakan templat yang sama di URL http://thebenchmark1.blogspot.com
Menurut notis itu, ia "cubaan terdesak pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai mengenai siasatan jenayah ke atas 1MDB".
Oleh itu, The Benchmark berkata, ia akan menukar templat sehingga penipu itu dan "mereka yang diupahnya" dikenal pasti.
"Perlu diingatkan langkah ini tidak akan menghalang penjenayah itu dan mereka yang bersubahat daripada mencuba kaedah penyamaran lain atau memberi gambaran salah," kata notis itu.
Pada blog yang satu lagi itu, dokumen berkaitan usaha sama 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan PetroSaudi International diterbitkan dan kelihatan disasarkan kepada satu lagi laman web pemberi maklumat, Sarawak Report.
Menurut posting di blog "palsu" itu, tidak benar dakwaan yang ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low menyalurkan keluar AS$700 juta (RM2.5 bilion) menerusi satu usaha sama dengan syarikatnya Good Star Limited.
Menyiarkan dokumen tanpa mengaitkan dengan sumber, blog tersebut menyatakan 1MDB tidak pernah memindahkan wang kepada akaun pihak ketiga, selain kepada usaha sama 1MDB-PetroSaudi itu.
Perjanjian 1MDB dengan PetroSaudi itu menjadi perhatian selepas Sarawak Report melaporkan pada Mac yang Low menggunakan PetroSaudi International sebagai "pemuka" untuk membawa keluar AS$700 juta itu.
Sarawak Report mendakwa Low merancang usaha sama antara PetroSaudi dan 1MDB itu yang menyebabkan 1MDB terpaksa membayar balik wang kepada PetroSaudi.
Dana itu akhirnya masuk semula ke Good Star, menurut Sarawak Report.
sumber
No comments: