Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu menyiasat kesahihan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk membiayai kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0.
Badan pemantau bebas itu berkata, badan penguatkuasa lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bertanggungjawab secara bebas menyiasat dakwaan laporan media antarabangsa itu dan bukannya mengarahkan Bersih 2.0 mengumpul bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Sebagai pengerusi SPR, Aziz sepatutnya ambil serius dakwaan yang dibuat WSJ dan beliau perlu memulakan siasatan.
"Beliau tidak sepatutnya bercakap seolah-olah berpihak kepada sesebuah parti, membutakan dirinya melihat perkara yang jelas. Itulah sebabnya majoriti rakyat Malaysia tidak yakin dengan SPR.
"Aziz mencabar kami mengumpul bukti (kami sudah lakukan) dan membuat laporan kepada pihak berkuasa (yang juga sudah dibuat) kerana beliau tahu semua itu tidak akan berhasil," kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan WSJ bertarikh 19 Jun, 1MDB yang sarat hutang menyokong secara tidak langsung kempen Najib melalui pembelian aset tenaga daripada Genting Group pada 2012, dengan harga 5 kali lebih mahal berbanding nilai sebenarnya.
Genting didakwa menderma sebahagian pendapatannya itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia, di bawah kawalan Najib, yang kemudiannya mengumumkan beberapa projek amal dibangkitkan perdana menteri pula selepas itu ketika berkempen.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri berkata dakwaan WSJ itu tidak berasas.
Bersih 2.0 dalam responsnya menganggap dakwaan itu manipulasi dana PRU13, lebih mengejut apabila difahamkan dana politik ada kaitan dengan 1MDB yang dibebani dengan hutang RM42 bilion.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, SPR sepatutnya menyiasat dakwaan WSJ.
Katanya, ia akan menentukan kredibiliti SPR sebagai badan bebas sekiranya ia mengambil tindakan terhadap Najib mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, khususnya Seksyen 10(a), yang meliputi aktiviti rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya dengan niat membeli undi.
"Kami menggesa perdana menteri menafikan dakwaan itu, dan ambil tindakan atas kapasitinya sebagai pengerusi panel penasihat 1MDB yang tahu segalanya tentang transaksi 1MDB, jika beliau percaya laporan 1MDB itu tidak benar.
"Jika tidak beliau mesti meletakkan jawatan," kata Bersih 2.0.
CEO Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah dalam status Facebook mempersoalkan kenyataan Aziz yang menyalahkan Bersih 2.0 dan enggan menyiasat dakwaan itu.
"Bila tahu artikel Wall Street Journal yang kata dana 1MDB diguna untuk dana BN dlm PRU13, Pengerusi SPR sepatutnya siasat artikel itu.
"Beliau tak patut kata ‘kenapa ungkit sekarang’ sedangkan ada kes mahkamah dibuka semula dan ubah keputusan kerana ada bukti baru," katanya.
No comments: