Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak masih terus menabur duit kepada rakyat walaupun sudah ditegur perbuatannya itu salah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, banyak kesalahan yang dilakukan Najib sejak beliau menjadi perdana menteri dan menganggap rakyat akan terus menyokongnya dengan hanya menabur duit dan menayangkan sepanduk "I Love PM".
"Dia fikir jika dia bagi duit kepada rakyat maka rakyat akan sayang dia. Membelanjakan duit rakyat dengan cara sebegitu adalah salah.
"Saya sudah tegur tetapi dia tak nak ikut. Dia fikir wang adalah segala-galanya," katanya pada sidang media selepas menghadiri program "Dangerous Ideas" di Publika, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Najib dalam blognya baru-baru ini, yang mengatakan perdana menteri paling lama berkhidmat itu menyerangnya kerana enggan tunduk kepada kehendaknya seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan jawatan.
Dr Mahathir berkata, walaupun Najib anak kepada tokoh pemimpin negara, tetapi beliau enggan menyokongnya seperti dahulu kerana Penasihat Lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu menyebabkan negara rugi wang berbilion ringgit wang.
Najib dalam artikel terbaru "Apa yang mendorong serangan Tun Mahathir" di blog NajibRazak.com semalam turut menepis dakwaan Dr Mahathir yang Barisan Nasional (BN) akan kalah pada pilihan raya umum akan datang kerana beliau tiada hak untuk bercakap bagi mewakili keseluruhan pengundi.
Presiden Umno itu berkata, sebaliknya negara akan lumpuh jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara kerana parti pembangkang itu sedang mengalami krisis perpecahan ideologi.
"Jika kita dalam BN terus bersatu dan membuktikan kemampuan kita dalam tahun-tahun akan datang, saya percaya rakyat akan membuktikan Tun (Dr Mahathir) silap pada pilihan raya akan datang – sebaik sahaja dibuktikan yang dakwaan beliau itu silap dan bermotifkan kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara," katanya.
sumber
No comments: