Pelan penyusunan semula 1MDB yang dibincangkan oleh kabinet Jumaat lalu adalah pelan halatuju untuk menyelamatkan Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak, kata Lim Kit Siang.
Beliau berkata ini kerana perdana menteri merupakan pemberi kelulusan utama dalam semua urusan 1MDB.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk kepada memorandum dan tata urusan syarikat (M&A) di Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang merupakan pelopor 1MDB.
Dokumen itu menunjukkan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh terhadap TIA.
Oleh itu, Lim berkata, pelan halatuju 1MDB yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, tiada bezanya dengan 'pelan selamatkan 1MDB' atau 'pelan selamatkan Najib'.
"Adakah semua menteri kabinet sedar Jumaat lalu bahawa ketika mereka memutuskan pelan halatuju 1MDB, mereka sebenarnya sedang memutuskan pelan menyelamatkan Najib?" soalnya.
Soalnya lagi, apakah mereka menerima tanggungjawab bersama ke atas skandal 1MDB dan bersedia untuk setia bersama Najib dalam isu tersebut?
Lim secara khususnya bertanya sama ada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menerima tanggungjawab bersama ke atas skandal 1MDB.
Katanya, persoalan ini menjadi penting ekoran laporan yang menyatakan Najib telah meminta anggota kabinet yang tidak bersamanya dalam isu 1MDB, meletak jawatan.
Lim berkata Najib telah memberikan peluang kepada semua 35 menteri untuk menjauhkan diri mereka dari 1MDB.
"Tetapi tidak seorang pun anggota kabinet yang berbuat demikian, begitu juga Shafie," tegasnya.
"Adakah ini bermakna anggota kabinet, termasuk Muhyiddin dan Shafie, yang tidak bersetuju dalam soal skandal 1MDB, kini terpaksa mendiamkan bantahan mereka demi untuk terus menganggotai kabinet Najib?" tambahnya.
Lim mencabar para menteri untuk mengumumkan secara terbuka sama ada mereka bersedia untuk bertanggungjawab secara bersama terhadap skandal 1MDB.
Sementara itu, pemimpin DAP itu berkata Husni masih belum memenuhi janjinya untuk mengumumkan pelan halatuju 1MDB selepas beliau membentangkannya kepada kabinet.
No comments: