» » 'Najib Razak yang perlu ambil cuti dan bukannya saya'


Datuk Seri Najib Razak perlu bercuti daripada tugas rasmi beliau sewaktu siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlangsung, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Pua berkata demikian sewaktu menjawab gesaan peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menggesanya berundur daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas dakwaan konflik kepentingan susulan kenyataan dan kritikan bertali arus terhadap 1MDB.

"Jika peguam terhormat dan mashyur ini begitu cakna tentang konflik kepentingan, beliau perlu meminta Najib bercuti sebagai menteri kewangan dan perdana menteri kerana beliau dikaitkan secara terus dalam skandal RM42 bilion.

"Faktanya setiap urusniaga utama dilakukan 1MDB mengandungi 'keizinan bertulis' beliau secara jelas," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Pua dipercayai merujuk kepada Artikel dan Memorandum Penubuhan 1MDB sebelum ini yang didapati mengandungi klausa menyatakan setiap urusan utama syarikat itu, termasuk pelantikan pengarah yang perlu mendapat izin bertulis perdana menteri.

"Bagaimanakah Najib dibenarkan menentukan cara, pemasaan dan mekanisma siasatan skandal sebesar ini apabila beliau juga suspek utama?

"Bukankah peguam Shafee yang mendakwa menegakkan keadilan semula jadi menentang konflik kepentingan sebesar ini?" kata setiausaha publisiti DAP itu.

Shafee dalam laporan Berita Harian semalam berkata kenyataan Pua boleh memberi kesan kepada siasatan 1MDB.

Katanya, pengunduran Pua akan mengembalikan keyakinan awam terhadap siasatan PAC dan beliau sepatutnya menjadi saksi dalam pendengaran itu.

"Kenyataan ini tidak masuk akal daripada pelbagai sudut. Pertama, bagaimanakah mengeluarkan kenyataan dan melaksanakan tanggungjawab harian saya sebagai wakil rakyat Malaysia boleh menjejaskan siasatan 1MDB?

"Jika saya membuat kenyataan tidak berasas dan 1MDB boleh menafikan kenyataan saya sewaktu pendengaran PAC, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pastinya tidak akan melepaskan peluang menghentam saya dalam mesyuarat.

"Lebih teruk lagi, keseluruhan prosiding direkodkan setiap patah perkataan dan akan diterbitkan dalam laporan yang akan dibentangkan di Parlimen dan boleh diperolehi orang awam.

"Jika 1MDB berjaya membuktikan saya bodoh, kebodohan saya akan terpahat dalam sejarah," kata Pua.

Pua turut membidas kenyataan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad yang menyahut seruan Shafee.

Shahrir menggesa Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed agar mempertimbangkan cadangan Shafee kerana "Pua tahu terlalu banyak tentang 1MDB".

Menurut Pua, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang urus niaga meragukan 1MDB.

"Shahrir Samad menodai sisa-sisa kredibiliti yang ada padanya dengan kenyataan penuh falasi ini. Jika kenyataan 'saya tahu terlalu banyak tentang 1MDB' benar, maka saya perlu turut serta dalam pasukan siasatan," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .