Kepimpinan "liberal" Datuk Seri Najib Razak dan keinginannya mengikut "cara berfikir" dunia barat hari ini mengenai kebebasan dan kesamarataan menjadikan negara ini lebih perkauman, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, konsep tersebut masih belum sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana terdapat sesetengah kaum lebih mundur berbanding kaum lain dan masih memerlukan tindakan afirmatif.
"Jadi, bila anda mempunyai pemimpin yang hanya dipengaruhi dengan cara berfikir hari ini, sudah tentu kita perlu menjadi liberal, kita tidak boleh menyekat orang, kita mesti mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mesti bebas melakukan apa sahaja, hasilnya, terdapat lebih banyak ketegangan antara kaum," kata Dr Mahathir pada satu ceramah yang dianjurkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di Kuala Lumpur.
"Apabila terdapat ketegangan antara kaum, apabila Melayu sedar mereka tidak boleh bergantung kepada sokongan Cina, mereka akan kembali kepada kaum mereka."
“Sebelum ini, kita boleh pasti yang kaum Cina akan menyokong parti kerajaan, begitu juga kaum India... tetapi kini, orang lebih bersifat perkauman dari sebelum ini kerana kepimpinan tiak memahami masalah dihadapi masyarakat Malaysia."
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, masalah utama di Malaysia ialah kaum yang berbeza tidak berada pada tahap ekonomi yang sama.
Katanya, tindakan afirmatif mengurangkan ketidaksamaan antara kaum, tetapi Najib terburu-buru mahu "dilihat lebih liberal" dan "dipuji orang besar", lantas mengenepikan tindakan itu.
"Rakyat berbilang kaum tidak menikmati perkembangan ekonomi yang sama. Apabila anda tidak mengendahkan hakikat itu, anda akan dapati mereka yang kurang membangun akan mencari perlindungan dari kalangan kaum mereka sendiri dan masalah perkauman menjadi satu isu."
Dr Mahathir juga menyifatkan liberalisme gagal termasuk di Amerika Syarikat dan Britain, dan menunjuk kepada peningkatan dalam pengaruh kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) sebagai bukti.
"Kalau anda perhatikan betul-betul, anda akan lihat liberalisme menyebabkan ramai orang Islam di Britain menyertai Isis dan menyembelih sesama manusia," katanya.
sumber
No comments: