Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjadi pertikaian tidak digunapakai di peringkat Tingkatan 4, kata kumpulan pendidikan, sekali gus mempersoalkan masa hadapan sebahagian penting usaha Putrajaya mereformasikan sekolah.
Kelab Intelek Dan Pendidikan Malaysia (KIPM) berkata, sekiranya PBS tidak dilaksanakan kepada pelajar Tingkatan 4, pelajar Tingkatan 5 tahun depan juga tidak akan melaluinya kerana kedua-dua tahap pendidikan itu berkait dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Moderator KIPM Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, perkara itu menimbulkan persoalan, mengapa Putrajaya menghabiskan wang dan masa melaksanakan sistem itu dan dalam proses itu, bercanggah dengan guru, sehingga mengakibatkan salah seorang darinya, iaitu beliau sendiri, dipecat kerana menyatakan kelemahan sistem itu secara terbuka.
Nor Izzat mendakwa, PBS, yang seharusnya tidak melibatkan peperiksaan dan digantikan dengan tugasan harian dan prestasi pelajar, juga tidak digunakan di peringkat sekolah rendah.
KIPM katanya, mendapati perkara itu berlaku melalui ahli mereka yang merupakan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah.
"Semuanya menunjukkan mereka kembali kepada sistem SPM yang lama. Pengetua juga tidak berkuasa untuk mengarahkan pelaksanaan PBS.
"Ianya kurikulum sama tetapi tanpa PBS. Di sekolah kebangsaan, mereka juga tidak menggunakan PBS tetapi sebaliknya menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran," kata Nor Izzat kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, guru-guru khuatir, sama ada pelajar yang melalui PBS selama 3 tahun, bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, akan berupaya mengadaptasi sistem berorientasikan peperiksaan.
Melalui PBS, pelajar hanya melalui jumlah peperiksaan yang lebih kecil dan diuji setiap hari oleh guru mereka untuk mengukur tahap kompetensi mereka dalam setiap pembelajaran satu-satu matapelajaran.
Pelajar akan diberikan gred sehingga Band 6, dari yang berupaya memahami pembelajaran tersebut (paling rendah) hingga berupaya membimbing orang lain (paling tinggi).
Ini berbeza daripada sistem tradisional, yang menggunakan gred A, B, C dan D, yang ditemui dalam sistem berorientasikan peperiksaan.
Ia diperkenalkan untuk murid Darjah 1 pada 2011 dan pelajar Tingkatan 1 pada 2012. Pelajar Tingkatan 1 diajar melalui PBS, sehingga mereka memasuki Tingkatan 3 dan menduduki peperiksaan terbesar mereka, PT3, Penilaian Tingkatan 3.
PBS dianggap antara sistem terbaik yang menggalakkan pelajar berfikiran kritis dan pembelajaran secara nyata di sekolah berbanding sistem hafalan dan berorientasikan peperiksaan.
Nor Izzat sendiri penyokong sistem tersebut, namun banyak mengkritik pelaksanaannya yang tanpa mengambil kira realiti sekolah di Malaysia.
Setiap guru di negara ini mempunyai 3 kelas dengan 40 pelajar bagi setiap satunya, dan untuk PBS berjaya, seperti di Finland, ratio guru-pelajar perlu dikurangkan kepada 15 pelajar untuk seorang guru, kata Nor Izzat.
Guru juga akan dibebani dengan kertas kerja yang banyak kerana pentaksiran harian dan tekanan perlu memasukkan data gred kepada pusat rangkaian yang kerap kali tersekat.
Kementerian katanya masih gagal menyelesaikan isu berkenaan yang menjadi punca utama sekolah berhempas pulas melaksanakan PBS dengan sempurna.
"Saya menyokong PBS, tetapi cara mereka salah. Kita perlu ada infrastruktur ICT, kurangkan ratio guru-pelajar, dan memberikan pembantu untuk guru menyelesaikan kertas kerja mereka."
Nor Izzat dipecat daripada jawatannya sebagai guru di Pahang pada Mac, selepas mengetuai gerakan guru yang mahukan PBS diubah kerana pelaksanaannya yang lemah.
Melalui tekanan yang berterusan, bersama rakan-rakannya dalam Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Nor Izzat berjaya memaksa kementerian memperbaiki kelemahan PBS.
Ditanya perasaannya ketika melihat sekolah kini mula meninggalkan PBS selepas drama antara kementerian dan guru selama ini, Nor Izzat berkata: "Saya sudah menjangkakannya. Membazir masa. Apa objektif awalnya? Politik atau pendidikan?
"Setiap kali bertukar menteri, polisi pendidikan berubah. Sudah empat hingga lima polisi diperkenalkan tetapi masih gagal."
sumber
No comments: