Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) "sangat bodoh" memeterai perjanjian berat sebelah yang akhirnya mengakibatkan ia mengalami masalah kewangan.
Dalam menghuraikan perjanjian itu, yang termasuk pembelian kontroversi loji tenaga dari beberapa kongolomerat, bekas perdana menteri itu berkata dana pelaburan negara itu membayar lebih daripada harga pasaran bagi aset tersebut.
1MDB membayar RM18 bilion membeli pengeluar tenaga bebas (IPP), terdiri daripada RM8.5 bilion untuk Powertek, RM2.3 bilion untuk loji janakuasa Kuala Langat, RM1.2 bilion loji kuasa Jimah dan RM6 bilion hutang yang diwarisi.
Powertek sebelum ini dimiliki Tanjong Public Limited milik hartawan Tan Sri Ananda Krishnan, manakala loji janakuasa Kuala Langat sebelum ini dikenali sebagai Genting Sanyen Power.
"Harga yang dibayar untuk Genting Sanyen dan IPP Ananda jauh melebihi harga pasaran. Genting Sanyen dan Powertek ketika itu hampir tamat tempoh lesen mereka. Kalaulah 1MDB menunggu sehingga tamat tempoh lesen itu, harganya tak seberapa.
"Mengapa 1MDB tidak menunggu sehingga habis tempoh lesen, itu satu misteri. Genting dan Ananda jelas membuat lebih banyak wang daripada yang mereka berhak. Dianggarkan harga yang tinggi itu memberi tambahan RM3 bilion kepada penjual. Selain itu, mereka dilepaskan daripada pinjaman sebanyak RM6 bilion.
"Oleh itu, bukan sahaja pinjaman itu mahal, tetapi kos pelaburannya yang tinggi membawa pulangan yang rendah. Kenapa 1MDB jadi bodoh sangat?" soal Dr Mahathir dalam posting di blognya hari ini.
sumber
No comments: