» » Hutang Malaysia melebihi RM800 bilion kerana buat salah tidak dikenakan tindakan


SEKILAS PANDANG: “Malu” dan “tidak cekap” nampaknya adalah dua perkataan yang tidak wujud dalam kamus kerajaan Umno BN.

Jika perkataan itu wujud, mereka pastinya sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas keadaan semasa sosio-ekonomi dan kewangan negara. Bukannya terus berlagak biasa dan memberikan gambaran indah dengan jaminan-jaminan hebat yang membingungkan ramai.

Pada 8 Jun lalu, nilai ringgit menjunam ke tahap terendah untuk tempoh 30 tahun berbanding dollar Singapura. S$1 bersamaan dengan RM2.77.

Saya tertanya-tanya, berapa ramai agaknya yang masih ingat di saat ringgit bernilai lebih tinggi daripada dollar Singapura – RM1 bersamaan S$0.90.

Selepas Singapura disingkir daripada Malaysia pada 1965, ekonomi dan kewangan republik yang kecil itu membangun secara konsisten, terutama kekuatan mata wangnya.

Di manakah kedudukan Malaysia sekarang, dalam segi kewangan dan ekonomi, di bawah pemerintahan berterusan kerajaan BN (sebelum ini Perikatan) sejak merdeka?

Banyak kesilapan dibuat yang menyebabkan masalah kewangan yang dihadapi negara pada masa ini, tetapi tiga contoh ini sudah cukup untuk memberi gambaran jelas:

Hutang negara yang melebihi RM800 bilion, yang dengan pantas menuju trillion.
1MDB milik Kementerian Kewangan berdepan krisis hutang RM42 bilion; dan

Pendedahan terbaru yang diumumkan perdana menteri Najib Razak dalam jawapan bertulis di Parlimen bahawa kerajaan terpaksa membuat pembayaran luar kunci kira-kira (off-balance sheet) berjumlah RM4.76 bilion dan RM11.62 bilion setiap tahun bermula tahun ini sehingga 2020, bagi 9 entiti milik kerajaan.
Adakah masih ada yang bingung mengapa nilai ringgit jatuh menjunam dalam tukaran antarabangsa? Di manakah kebertanggungjawaban bagi hutang berbilion ringgit ini?

Akhbar Singapura MyPaper pada 9 Jun lalu melaporkan, ringgit jatuh ke tahap terendah untuk lebih 30 tahun berbanding dollar Singapura, selepas pasaran terkesan dengan data ekonomi yang kuat dari Amerika Syarikat dan satu skandal di badan dana milik kerajaan Malaysia.

Malah ada cakap-cakap yang ringgit boleh jatuh sehingga S$1 boleh bersamaan RM3.

Pengurup wang berkata, ada peningkatan dalam permintaan untuk mata wang itu, yang terjejas pada tahun lalu ekoran kemerosotan harga minyak.

Sebagai pengeksport minyak utama, kemerosotan harga minyak telah teruk menjejaskan pendapatan negara.

Kemerosotan terbaru ringgit adalah akibat beberapa faktor, kata penganalisis Phillip Futures Investment Howie Lee.

Pertama, data ekonomi Amerika Syarikat yang kian kukuh telah menguatkan anggaran peningkatan kadar faedah di sana pada tahun ini.

Data pendapatan bukan-ladang (non-farm payrolls) Amerika yang kritikal yang dikeluarkan baru-baru ini dilihat sebagai barometer utama kepada ekonomi terbesar dunia itu dan keadaannya lebih baik daripada jangkaan.

Lee berkata, data Amerika yang lebih kuat menyebabkan aliran keluar wang daripada pasaran Malaysia, ekoran pelabur yang mencari hasil yang lebih tinggi.

Timbunan masalah dalam 1MDB juga menyumbang kepada kejatuhan ringgit, katanya lagi.

1MDB kini di bawah siasatan kerana dakwaan salah laku dalam beberapa urusniaga, dan situasi ini telah membawa suasana suram dalam pasaran kewangan Malaysia.

Penganalisis berkata, mengambil kira asas ekonomi negara yang goyah, nilai ringgit boleh terus melemah.

“China mungkin memberikan lebih masalah kepada Malaysia memandangkan permintaan terhadap jentera industri dan komoditi mentah yang berkurang. Malaysia juga berhadapan masalah simpanan yang berkurang, kuasa beli lemah, kemungkinan perbelanjaan melangkaui belanjawan dan hutang pemilikan asing yang tinggi,” katanya lagi, sambil menambah bahawa ringgit mungkin menyusut ke tahap RM2.85 atau RM3.00 berbanding dollar Singapura.

Data eksport Malaysia bagi April, yang dikeluarkan 5 Jun lalu, dijejaskan oleh penghentian penghantaran gas asli cecair (LNG) dan lemah lebih daripada jangkaan, kata ahli ekonomi Credit Suisse Michael Wan dalam satu nota kajian.

“Kesan penuh kemerosotan harga minyak masih belum terlihat pada angka dagangan, kerana harga LNG biasanya mencerminkan harga minyak bagi tempoh kira-kira enam bulan sebelumnya,” katanya.

Katanya lagi, beliau melihat “asas-asas telah meletakkan lebih tekanan kepada ringgit”.

Sementara itu, laman The Malaysian insider melaporkan pada 9 Jun lalu bahawa sehingga 31 Mei 2014, ada sembilan syarikat milik Kementerian Kewangan, termasuk Pembinaan PFI Sdn Bhd dan Pembinaan BLT Sdn Bhd, yang memiliki perbelanjaan yang diklasifikasikan sebagai off-balance sheet.

Ini adalah syarikat yang mana hutangnya tidak dikira sebahagian dalam hutang rasmi kerajaan. Kerajaan hanya akan campur tangan untuk membayar hutang ini sebagai langkah terakhir, jika syarikat tidak mampu membayarnya.

Pembinaan PFI adalah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 28 September 2006. Syarikat itu telah mendapat kritikan kerana mengumpul hutang setinggi RM26.6 bilion dalam tempoh hanya tujuh tahun sejak penubuhannya.

Ada juga pihak yang menyamakan Pembinaan PFI dengan 1MDB.

Jadi, anda fikir apakah sebabnya kita semua dibebankan dengan lebih cukai melalui GST yang dibenci itu, yang setiap hari mengambil duit kita?



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .