» » Hapuskan hutang PTPTN


Tindakan Kerajaan Barisan Nasional untuk memotong gaji 163,007 orang penjawat awam bagi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak munasabah dan membawa implikasi negatif jangka panjang.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) percaya tindakan memotong gaji penjawat awam adalah selaras dengan saranan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan yang memberi desakan hebat agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN.

Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno lebih cenderung menghukum penjawat awam mahupun orang muda. Beliau gagal melihat masalah ini dari sudut yang luas iaitu bayaran balik pinjaman PTPTN tidak memuaskan adalah disebabkan ketempangan sistem itu sendiri. Beliau sepatutnya meneliti mengapa rakyat dipaksa membuat hutang bagi melanjutkan pelajaran dan mengapa terdapat elemen membuat keuntungan dalam pendidikan tinggi.

AMK berpendapat, setiap rakyat berhak menerima pendidikan percuma. Mengikut pengiraan yang dibuat pada tahun 2013, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi menghapuskan PTPTN hanyalah RM24 bilion. Jumlah ini hanyalah separuh jika dibandingkan dengan hutang 1MDB yang dianggarkan lebih daripada RM42 bilion yang mana sehingga kini masih gagal dijawab Barisan Nasional.

Ini jelas terbukti sikap pilih kasih (double standard) apabila kerajaan memilih untuk menghukum peminjam PTPTN tanpa kompromi sedangkan begitu banyak ketirisan wang rakyat yang lain dibiarkan begitu sahaja.

Tekanan ekonomi rakyat kini memuncak sejak pelaksanaan GST. Harga minyak yang naik setiap bulan dan ura-ura kenaikan kadar tol di 12 lebuhraya utama memburukkan lagi tekanan kos sara hidup rakyat biasa. Adakah gaji yang diterima penjawat awam memadai untuk menanggung semua ini dan kini berdepan dengan potongan gaji?

Jika Khairy dengan lantang menggelarkan peminjam yang tidak membayar PTPTN sebagai mengkhianati perjanjian, beranikah beliau menuntut agar gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipotong sehingga hutang 1MDB dijelaskan terlebih dahulu?

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .