Gambar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diambil jurugambar Malaysiakini Lim Huey Teng menjadi pilihan dijadikan mural besar di Alor Setar , Kedah .
Bernama melaporkan perjalanan sepanjang Pekan Cina serta Pekan Melayu yang hanya dibahagikan satu jalan utama di Bandaraya Alor Setar dan mempunyai deretan bangunan lama kini lebih menarik dengan adanya lukisan mural Mahathir.
Lukisan mural itu, yang terletak di Jalan Pekan Melayu, siap semalam, dan merupakan usaha kerajaan negeri bersempena majlis pelancaran Bulan Pelancongan Legenda Kedah, di Tanjung Chali.
Ia memaparkan anak jati Kedah itu berbaju Melayu dan bersongkok hitam tersenyum di sebuah dinding bangunan dua tingkat, dengan kelebaran 100 kaki (30.48 meter), lapor agensi berita nasional.
Di sebelahnya pula, kelihatan lukisan Menara Berkembar Petronas dan kereta pertama keluaran Malaysia, iaitu Proton Saga, yang kedua-duanya menjadi antara ikon kepada Bapa Pemodenan Malaysia itu.
Pengurus Projek, Mustakim Ismail, 24, dari Medium Touch, Kuala Lumpur berkata beliau dan dua lagi pelukis, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri 22, dan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi, 29, mula membuat lakaran itu pada 1 Jun lepas dan siap sepenuhnya semalam.
Beliau memberitahu Bernama pemilihan Dr Mahathir dalam lukisan mural itu dibuat hasil perbincangan pihak beliau dengan kerajaan negeri Kedah.
Menceritakan proses penghasilan lukisan mural berkenaan, Mustakim berkata dengan menggunakan gambar Malaysiakinimereka memulakan kerja dengan melakukan lakaran asas dinding.
"Selepas itu kami mulakan proses mewarna lapisan demi lapisan, lakar terus warna menggunakan cat semburan," beliau dilapor sebagai berkata.
Mustakim berkata lukisan mural itu mampu bertahan lama, sekurang-kurangnya 10 tahun tanpa perlu dicat semula memandangkan ia menggunakan cat yang tidak mudah luntur dan tahan kepada pelbagai keadaan cuaca.
No comments: