Penyanyi Didi Astillah menyifatkan laman sosial Instagram kini bukan sahaja setakat menjadi medan orang berniaga tetapi juga boleh menjana pendapatan jika mempunyai pengikut yang ramai.
Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 19, berkata, mempunyai jumlah 176,569 pengikut sekali gus membuatkan dirinya dikenali sebagai 'Insta Famous' di mana dia akan menjana pendapatan menerusi permintaan peniaga yang mahu mengiklankan barangan jualan mereka di akaun Instagram miliknya.
"Bagi orang yang mempunyai pengikut ramai, mereka akan dipanggil sebagai Insta Famous. Pada mulanya saya saja mengikut aliran dengan membuat review produk jualan peniaga Instagram dengan harga bayaran tertentu.
"Tetapi tidak sangka ia menjadi serius apabila ramai yang ingin produk jualan mereka diiklankan di Instagram saya.
"Ada juga mana-mana produk yang menjemput saya ke majlis anjuran mereka dan tugas saya hanya perlu memuatnaik foto ketika acara sedang berlangsung. Saya percaya ramai juga yang membuat pendapatan sampingan seperti saya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Didi, dia melihat aktiviti-aktiviti di Instagram membuatkan dia lebih dikenali berbeza dengan kerjaya nyanyian arus perdana.
Sementara itu, Didi bagaimanapun tidak pernah tertekan dengan pergerakan karier nyanyian yang perlahan dan masih lagi belum kukuh kerana percaya tuahnya pasti akan tiba pada satu hari nanti.
"Saya percaya satu hari nanti orang akan menerima saya sebagai seorang penyanyi, cuma tuah belum sampai lagi.
"Lagipun kerjaya nyanyian adalah impian saya sejak kecil lagi dan saya akan terus berusaha sehingga berjaya, InsyaAllah," tuturnya.
No comments: