Hujan lebat serta angin kuat yang melanda bandar Kuala Berang hampir 40 minit telah menerbangkan kanopi dan merosakkan satu deretan bangsal peniaga bazar Ramadan di sini, Sabtu.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menyebabkan empat peniaga yang baharu hendak memulakan perniagaan hampir putus harapan apabila bangsal berstruktur besi dan beratap zink yang dikongsi mereka ranap menyembuh bumi.
Peniaga ayam tempayan, Husin Abdullah, 49, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas dan beliau yang sedang melayan pelanggan pada masa itu terkejut mendengar bunyi angin kuat yang meranapkan bangsal.
"Saya baharu saja datang berniaga tidak sampai satu jam, waktu itu memang hujan lebat, tetapi tidak sangka pula tiba-tiba zink dan bangsal ini roboh...mujur tidak menimpa atas kepala kami kerana kami sempat lari ke bangsal lain.
"Saya tidak pernah mengalami kejadian seperti ini, bagaimanapun saya terpaksa berniaga juga dengan menumpang di bangsal sebelah sebab ayam semua sudah diperap dan ada yang sedang dibakar dalam tempayan, memang saya agak rugi tetapi hendak buat macam mana, saya reda," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Bagi peniaga ayam potong, Rohaida Ibrahim, 28, berkata beliau yang datang lambat sedikit berbanding peniaga lain terkejut melihat ruang perniagaannya ditimpa atap dan barangnya turut rosak.
"Kerusi dan meja tempat meniaga saya ditimpa atap dan tiang yang runtuh, saya terpaksa menumpang di kanopi peniaga lain, kalau tidak, tak ada hasillah saya datang dari jauh," katanya yang tinggal di Setiu, 70 kilometer dari bandar Kuala Berang.
Amir Latif, 30, pula yang lebih 10 tahun berniaga roti tempayan di bazar berkenaan berkata kejadian itu bukan pertama kali berlaku di situ, sebaliknya hampir setiap tahun peniaga bazar menerima nasib yang sama.
"Bangsal runtuh bukan perkara baharu sebab bangsal yang disediakan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) tidak kukuh dan strukturnya tidak kuat. Kami harap sangat bangsal yang disediakan lebih kukuh dan elok.
"Sepatutnya apabila kejadian macam ni berlaku hampir setiap tahun, mereka (MDHT) boleh tengok dan menilai sendiri mana yang harus diperbaiki sebab tapak ini kami sewa," katanya.
Beliau berharap agar pihak MDHT membaik pulih segera tapak perniagaan di bazar itu yang rosak agar mereka dapat kembali berniaga dengan lebih selesa.
No comments: