» » ADIK Najib Razak cuba hantar mesej perubahan kepada rakyat Malaysia ?


Sejauh mana penglibatan Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam penubuhan sebuah parti politik baharu yang kini menjadi perbualan ramai, masih tidak dapat dipastikan secara tepat lagi.

Mengikut laporan Asia Sentinal, Nazir yang kini pengerusi Kumpulan CIMB sedang giat mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh perniagaan di Kuala Lumpur dan United Kingdom bagi membincangkan rancangan itu dalam usaha menamatkan era politik perkauman yang memecah-belahkan rakyat.

Apakah beliau terlibat secara langsung dalam kepimpinan utamanya, sekadar penggerak di belakang tabir atau bakal menjadi penyumbang dana utamanya saja?

Apa pun, penglibatan Nazir dalam sebuah parti baharu di ketika abangnya menjadi perdana menteri dan presiden Umno, ia adalah mesej yang jelas bahawa keluarga Tun Razak mulai berpecah dan mahu menjauhkan diri daripada kepimpinan Najib yang semakin ditolak rakyat.

Penglibatan Nazir dalam parti baharu ini sudah tentu jauh berbeza kesannya dengan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menubuhkan Ikatan, sedangkan beberapa adiknya masih berada dalam Umno, atau perbezaan wadah perjuangan yang menjadi pilihan antara Datuk Seri Shahrir Samad dengan Khalid Samad selama ini.

Ini kerana kedudukan Najib sebagai perdana menteri yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah serta tekanan ketika ini bukan sahaja memerlukan sokongan rakyat dan ahli Umno, malah lebih mustahak daripada ahli keluarga sendiri.

Sokongan keluarga dan adik-beradik adalah penting serta boleh dianggap tangkap azimat bagi menambahkan lagi kekentalan jiwa seorang perdana menteri dan ini tidak sama dengan adik-beradik Kadir yang hanya menjadi ketua Umno Bahagian dan ahli Parlimen, begitu juga dengan Shahrir yang sekadar pernah menjadi menteri sahaja.

Tetapi dengan adik kepada presiden Umno dan perdana menteri sendiri berbeza pendapat, malah berhasrat menubuhkan sebuah parti baharu pula, ia adalah mesej terang lagi nyata keluarga sendiri enggan menyokong dan tidak mahu bersama-sama kepimpiman abang sendiri.

Sekiranya berita ini benar dan menjadi kenyataan, sudah tentu pakcik tua di kampung dan makcik Felda mulai keliru dan rapuh sokongannya terhadap Najib dan juga kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanakah mereka mahu terus menyokong Najib dan Umno sedangkan ada adik-beradiknya sendiri pun sedang mencari haluan lain menjauhkan diri?

Tindakan Nazir dalam penubuhan sebuah parti baharu secara umumnya tidaklah memeranjatkan kerana beliau sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan perbezaan pendapat dengan Najib, khususnya berkaitan isu 1MDB.

Beliau pernah mengkritk Lembaga Pengarah 1MDB yang hanya berdiam diri di sebalik pelbagai dakwaan timbul mengenai syarikat itu. Beliau juga mengkritik ketidakhadiran Arul Kanda dalam proses pendengaran dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan baru-baru ini pula melahirkan kehairanannya kerana perlantikan audit bagi akuan berakhir Mac 2015 bagi 1MDB masih belum dilakukan lagi.

Ketika timbul isu perbelanjaan mewah Datin Seri Rosmah Mansor dengan perhiasan mahal dan barangan berkelip-kelip yang cuba dikaitkan dengan harta pusaka Tun Razak, Nazir bersama abang-abangnya yang lain, kecuali Najib, turut sepakat mengeluarkan kenyataan bersama menolak dakwaan tersebut sambil mengatakan bapa mereka iaitu perdana menteri kedua adalah seorang yang amat sederhana dan berintergriti dalam kehidupan.

Tidak dapat disangkal bahawa dengan penglibatan dalam penubuhan parti baharu ini, sama ada secara langsung atau tidak, Nazir bukan saja sedang menghantar mesej agar rakyat tidak lagi menyokong Umno, malah yang lebih penting ialah mahu supaya Najib segera ditukar sebagai perdana menteri dengan apa cara sekali pun.

Barangkali setelah melakukan beberapa kritikan melalui media sosial bergambar Instagram miliknya dan mungkin juga sudah memberi pandangan secara kekeluargaan kepada Najib agar berundur dan akur dengan kehendak rakyat yang semakin tidak puas hati dengan kerajaan pimpinannya, tetapi tidak juga mendatangkan kesan, lalu menghantar mesej melalui penubuhan parti baharu ini adalah pilihan terakhir yang cuba dilakukannya demi perubahan dan kebaikan kepada negara.

Maka, semakin tiada alasan lagi untuk terus mengekalkan Najib dan keluarganya menghuni lebih lama di Seri Perdana.

(Nota: Nazir dilaporkan berkata rancangannya ialah berkaitan penubuhan sebuah NGO baharu sahaja, dan Datuk Saifuddin Abdullah yang dikatakan bakal memimpin parti baharu itu berkata, "Saya belum boleh komen lagi".)



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .