Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi jaminan, wang pendeposit Lembaga Tabung Haji selamat meskipun pengendali ibadah haji itu kini dilanda kontroversi membabitkan urusan pembelian tanah daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden Umno itu berkata, pendeposit Tabung Haji tidak perlu khuatir, kerana wang mereka dijamin kerajaan walaupun badan itu terlibat dengan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan yang sarat dibebani hutang.
"Saya nak menyatakan, bagi pihak kerajaan, pendeposit tidak perlu bimbang, kerana semua deposit dalam Tabung Haji dijamin oleh kerajaan.
"Jadi, tidak berbangkit kalau ada mana-mana pihak yang nak menghasut mereka mengeluarkan deposit daripada Tabung Haji," kata Najib, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.
"Kita ambil maklum akan keputusan yang dibuat dan Majlis Tertinggi memberi beberapa pandangan dalam perkara tersebut," katanya yang memaklumkan kepada media yang mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang urus niaga antara Tabung Haji dan 1MDB itu.
Sekumpulan pemegang akaun Tabung Haji sebelum ini bertindak mengeluarkan wang simpanan mereka daripada badan penyimpan wang bakal haji itu, sebagai bantahan terhadap keputusannya membeli tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didedahkan baru-baru ini.
Mereka juga menyatakan hilang kepercayaan terhadap Tabung Haji dan menuntut pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan.
"Kami akan masukkan balik duit ini selepas Datuk Azeez meletakkan jawatan sebagai pengerusi," kata Mohd Hilmi Radzuan yang mengetuai kumpulan berkenaan.
Azeez sebelum ini menafikan dakwaan beberapa blog mengenai pembelian itu, tetapi kemudiannya mendakwa kesilapan komunikasi selepas pengesahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Datuk Johan Abdullah.
Tabung Haji sebelum ini mengesahkan membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta daripada 1MDB di kawasan projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX), iaitu projek utama oleh 1MDB, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
sumber
No comments: