PKR hari ini melahirkan kebimbangan Putrajaya akan bertindak mencetak lebih banyak ringgit bagi menyelamatkan syarikat pelaburan bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sambil mengingatkan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya menghalang sebarang usaha ke arah itu.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jika ini berlaku, nilai ringgit akan susut ke tahap yang lebih rendah dan memberi tekanan terhadap pengguna, memandangkan banyak bahan keperluan asas di Malaysia diimport.
"Saya berharap pihak BNM akan dapat mengekalkan tahap profesionalisme mereka dengan menentang sebarang tindakan yang bakal menyusutkan nilai ringgit dilakukan demi mempertahankan nilai mata wang ringgit negara," kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam kenyataan hari ini.
Dr Wan Azizah turut kesal Putrajaya sanggup menggunakan "dana rakyat yang menabung untuk membiayai urusan fardhu haji", merujuk kontroversi pembelian tanah milik 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.
Berikutan bantahan keras pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin Umno, Tabung Haji mengumumkan tanah yang dibelinya itu akan dijual melalui tender terbuka pada harga yang lebih tinggi.
"Penjualan pada kadar yang tinggi ini perlu dipersoalkan samada ianya benar-benar satu transaksi pasaran yang sah ataupun hanyalah satu ‘wayang’ untuk menjana dana bagi membantu 1MDB melangsaikan hutang-hutangnya," katanya.
Dr Wan Azizah turut menyentuh penggunaan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dilaporkan membeli tanah 1MDB di Tun Razak Exchange.
"Sudahlah pendapatan rakyat yang tidak meningkat itu dirompak oleh kerajaan menerusi beban GST, kini, duit simpanan untuk masa depan rakyat (LTH, KWAP) pula digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan 1MDB , yang hanya menguntungkan beberapa kroni tertentu sahaja," katanya.
Kontroversi menyelubungi 1MDB terus mendapat perhatian selepas pendedahan Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) "meminjamkan" wang kepada syarikat bermasalah itu melalui pembelian sukuk bernilai RM1.5 bilion tahun lepas.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, sukuk tersebut tidak disenaraikan dan tidak didagangkan secara aktif di pasaran bon.
"Ia adalah kertas hutang yang dirundingkan secara terus di antara 1MDB dengan Tabung Haji dan PNB," katanya.
Rafizi berkata oleh kerana ia tidak disenaraikan, sukuk itu tidak ditarafkan seperti mana-mana kertas lain.
"Hutang RM1.5 bilion ini dijamin dengan cagaran tanah Bandar Malaysia (yang diberikan oleh Putrajaya kepada 1MDB) dan janji kutipan sewa di Bandar Malaysia (apabila siap), dan akan digunakan untuk membayar hutang RM1.5 bilion ini," kata Rafizi.
sumber
No comments: