» » Tabung Haji perlu perjelaskan pembelian tanah 1MDB


PAS dan DAP hari ini menggesa Putrajaya dan Lembaga Tabung Haji (LTH) menjelaskan dakwaan dana tabung itu digunakan bagi menyelamatkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi pembelian 2 bidang tanah bernilai RM772 juta di tengah bandar raya Kuala Lumpur

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Zairil Khir Johari berkata sebagai badan yang menjaga amanah menyimpan duit bakal haji, LTH tidak sepatutnya terlibat dalam projek berisiko tinggi.

"Jika dakwaan ini benar, Datuk Azeez dan menteri yang mengendalikan LTH perlu meletakkan jawatan serta-merta," kata Zairil merujuk Pengerusi LTH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

"Ini merupakan tindakan terdesak dan mengkhianati kepercayaan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan pembabitan lembaga itu dalam 1MDB seperti dakwaan tersebar di media sosial.

"Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih.

"Saya akan jalankan tanggungjawab dan amanah diberi. At the end of the day, the results that matter most," katanya.

Menurut beberapa laporan dan blog, LTH membeli 2 tanah di projek 1MDB, Tun Razak Exchange, masing-masing pada harga RM194 juta (RM2,860 kaki persegi) dan RM578 juta (RM3,900 kaki persegi).

Gesaan sama dibuat Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana wang amanah RM772 juta digunakan untuk membeli tanah pada harga berpuluh kali ganda.

"Persoalan yang timbul, apakah penglibatan pelaburan Tabung Haji dalam 1MDB merupakan aktiviti teras Tabung Haji itu sendiri?

"Apakah pendeposit Tabung Haji bakal menjadi mangsa 1MDB dalam pelaburan berisiko tinggi ini," soal ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Kelantan itu.

Husam berkata Tabung Haji yang diamanahkan untuk menjaga simpanan umat Islam yang merancang menunaikan haji wajib tampil menjelaskan perkara itu.

Katanya, dokumen mula tersebar di media sosial menunjukkan Tabung Haji seolah-olah penyelamat 1MDB.

Antara lain, dokumen tersebut menunjukkan Tabung Haji perlu membayar RM194 juta bagi plot tanah pertama dengan kelulusan menteri dalam masa kurang 2 minggu, dan wang pembelian harus dibayar kepada 1MDB secara penuh pada masa perjanjian dimeterai.

"Ini satu amalan yang ganjil," kata Husam dalam kenyataannya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Tabung Haji perlu membayar purata antara 50-65 kali lebih tinggi untuk sekeping tanah kerajaan dengan wang pendeposit Tabung Haji?

Husam berkata, pada awalnya, 1MDB hanya mendapat plot pertama dengan harga RM4 juta daripada kerajaan dan kini Tabung Haji perlu membayar RM194 juta kepada syarikat 1MDB.

Untuk plot kedua, 1MDB dapat pembelian hanya RM8.9 juta dan Tabung Haji sekali lagi terpaksa membelinya pada RM578 juta.

Husam berkata Ombudsman atau badan pemantau yang diberi kuasa tinggi ditubuhkan mengawal perkara sebegitu berlaku.

"Sebagaimana yang saya cadangkan sebelum ini, ini masa yang sesuai untuk ditubuhkan Ombudsman bagi mengelak hal seperti ini berulang pada masa lain," kata Husam yang pernah mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusinya yang pertama.

Zairil berkata lebih memeranjatkan apabila laporan penilaian risiko oleh pasukan pengurusan risiko dalaman LTH pada 9 April, 2015 menunjukkan projek itu "berisiko tinggi".

"Ini disebabkan banyak faktor, termasuk trend sektor hartanah yang lembap dan tidak akan meningkat kerana permintaan kurang selain ramalan makro ekonomi yang mencabar," katanya.

Pada masa sama, Zairil berkata laporan itu memberi amaran tentang kesukaran pembeli mendapatkan kewangan yang semakin meningkat, serta kejatuhan transaksi hartanah akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Laporan juga menyatakan berlaku lebihan tawaran kondominium mewah di Lembah Klang, dengan lambakan di tengah bandar raya di kawasan TRX.

"Tambahan pula, penilaian risiko juga menunjukkan harga tanah sejak tahun 2013 dijual antara RM649.49 kaki persegi di Jalan Ceylon kepada RM2,266.85 kaki persegi di Jalan Changkat Ceylon.

"Jadi tak mungkin dengan lokasi yang berdekatan LTH membeli dengan harga RM2,860 hingga RM3,900 kaki persegi," katanya.

Zairil berkata dengan risiko yang terlalu tinggi, amat meragukan LTH mampu mendapatkan semula projek pelaburannya bernilai RM3.2 bilion, termasuk kos pembangunan berjumlah RM2.4 bilion.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .