Kira-kira 2.7 juta isi rumah B40, iaitu berpendapatan bulanan purata RM2,537, akan diberi perhatian yang lebih dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurut Laporan RMK11 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, kelompok itu akan dinaikkan taraf ke arah masyarakat kelas menengah yang disasar mengembang kepada 45% menjelang 2020.
Untuk tujuan itu, kerajaan menggariskan tiga strategi iaitu meningkatkan pendapatan dan kekayaan isi rumah; menangani kos sara hidup yang meningkat; dan memperkukuh penyampaian program, demikian menurut dokumen RMK11 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut dokumen itu, pelaksanaan strategi terbabit akan menyaksikan pendapatan bulanan purata kumpulan berkenaan meningkat kepada RM5,270 menjelang 2020.
Selain itu, peratusan mereka yang berpendidikan tertiari pula meningkat daripada 9% pada 2014 kepada 20% pada 2020.
Ini kerana menerusi strategi terbabit kerajaan antara lain akan mengurangkan kadar keciciran pada peringkat sekolah, menambah program pelaburan meningkatkan pemilikan kekayaan, mempertingkat akses kepada pendidikan tinggi dan kemahiran, mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkaitan kawalan harga, penyediaan rumah mampu milik, dan pendekatan sistematik perusahaan berasaskan komuniti dan sosial.
Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan sokongan keusahawanan secara bersepadu serta menyediakan sistem jaringan keselamatan sosial yang bersepadu dan komprehensif.
Menurut dokumen itu, kerajaan juga akan memperkenalkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) yang mengukur dan memantau kemiskinan dari perspektif pelbagai dimensi.
"Melalui MPI, kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga elemen penting, iaitu pendekatan, skop dan ciri-ciri isi rumah B40.
"Sebagai contoh, menerusi elemen skop, bantuan akan diberi kepada kumpulan isi rumah B40 yang terlibat dalam perusahaan mikro persendirian dan menggalakkan perusahaan berasaskan komuniti dan sosial dalam kalangan isi rumah B40 sebagai tambahan kepada perusahaan persendirian," demikian menurut laporan itu.
No comments: