» » RMK-11 nampak suram setelah RMK-10 gagal capai sasaran utama yang ditetapkan


Malaysia bakal menyempurnakan satu lagi rancangan lima tahun, selangkah ke depan dalam mencapai Wawasan 2020, 1991–2020. Kajian Institut Rakyat mendapati Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bukan sahaja gagal mencapai sasaran utama yang ditetapkan, malah pembaris ukur kemiskinan yang digunakan juga tidak mencerminkan realiti sebenar. Apakah Malaysia dapat mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan pertumbuhan inklusif menjelang 2020 menjadi satu persoalan.

RMK-10 bakal digantikan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) mulai 21 Mei 2015. Hakikatnya setiap rancangan lima tahun merupakan satu rancangan jangka pertengahan yang menyerupai kompas untuk memandu arah pembangunan negara agar mencapai destinasi rancangan jangka panjang .

Persoalan samaada kita sedang menuju ke arah yang betul ataupun "kompas" berfungsi dengan baik wajib dikaji dengan serius agar rancangan lima tahun bukan sekadar dokumen yang menyenaraikan sasaran dan peruntukan projek, tetapi impian yang membawa aspirasi rakyat dan mendukung martabat bangsa.

Dalam konteks pembangunan manusia, RMK-10 bukan sekadar merangkumi aspek ekonomi, malah aspek keadilan sosial yang menjadi kerangka pertumbuhan inklusif sesebuah masyarakat. Berikut adalah 10 Idea Utama RMK-10 .

(1) Ekonomi dipacu faktor dalam negara di samping mengambil kira persekitaran luar negara;
(2) Memanfaatkan kepelbagaian etnik untuk mencapai kejayaan di arena antarabangsa;
(3) Transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi pengkhususan;
(4) Menjayakan pertumbuhan yang diterajui produktiviti dan inovasi;
(5) Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang;
(6) Memastikan peluang sama rata dan melindungi golongan yang mudah terjejas;
(7) Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif;
(8) Menyokong perkongsian pintar dan berkesan;
(9) Menghargai khazanah alam sekitar;
(10) Kerajaan upama syarikat yang berdaya saing.

Dalam aspek ekonomi, sasaran kadar pertumbuhan 6.0% setahun dalam tempoh RMK-10 gagal dicapai: 5.1% (2011), 5.6% (2012), 4.7% (2013), dan 5.8% (2014). Bank Negara menjangkakan kadar pertumbuhan pada 2015 sekitar 4.5-5.5%.

Ekoran daripada kadar pertumbuhan yang tersasar daripada sasaran, sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita RM38,845 pada 2015 dijangka menemui kegagalan memandangkan PNK per kapita hanya pada RM34,079 pada 2014.

Kegagalan mencapai sasaran PNK per kapita 2015 dan mengekalkan kadar pertumbuhan pada 6% setahun dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merudum, merupakan kegagalan terbesar pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang bakal menggagalkan Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada PNK per kapita RM55,695 menjelang 2020 sepertimana dijanjikan.

RMK-10 turut menyasarkan 33% tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2015, dan 50% menjelang 2020. Namun menurut Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh suku tahun ketiga 2014, pekerja berkemahiran tinggi masih rendah iaitu pada kadar 25% daripada keseluruhan tenaga kerja, berbanding dengan negara Asia yang mencapai peratusan tenaga mahir melebihi 30 peratus seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan .

Tambahan pula, kadar pertumbuhan upah iaitu 2.6% setahun jauh lebih rendah daripada kadar pertumbuhan produktiviti iaitu 6.7% setahun. Pengumuman Najib pada 1 May 2015 bahawa kerajaan tidak akan meningkatkan paras gaji minima [4] akan menyebabkan upah bagi pekerja berkemahiran rendah kekal berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan.

Disebabkan jurang upah (wage gap) di antara lelaki dan wanita adalah lebih meluas bagi pekerjaan peringkat terbawah iaitu 9 kali ganda berbanding dengan pekerjaan peringkat teratas 7 kali ganda maka penindasan berganda berlaku ke atas pekerja wanita berkemahiran rendah apabila upah yang diterima lebih rendah daripada pekerja lelaki berkemahiran rendah.

Sektor perkhidmatan yang menyumbang 58% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) disasarkan berkembang pada kadar 7.2% setahun sehingga 2015 dan meningkatkan sumbangannya sebanyak 61% kepada KDNK pada akhir tempoh Rancangan.

Akan tetapi kadar pertumbuhan sektor perkhidmatan gagal mencapai sasaran: 6.4% (2012), 5.9% (2013), 6.3% (2014). Sasaran asal 61% dijangka tidak dapat dicapai, malah kerajaan berulang kali menukar sasaran di mana sasaran jatuh kepada 60% menjelang 2020 dalam Belanjawan 2015, dan 58% pada minggu lepas sepertimana diumumkan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar [6]. Jika sasaran jatuh, pencapaian yang sebenar dijangka akan lebih rendah daripada sasaran asal.

Dari segi sosio-ekonomi, RMK-10 berhasrat untuk mengurangkan insiden kemiskinan daripada 3.8% pada 2009 kepada 2.0% pada 2015. Laporan menunjukkan insiden kemiskinan sudah pun mencapai 1.0% pada 2014 [7]. Namun angka ini tidak menggambarkan realiti yang sebenar kerana pengukuran tahap kemiskinan bergantung pada kaedah pengiraan.

Apabila insiden kemiskinan diukur berdasarkan kemiskinan mutlak (absolute poverty) iaitu garisan kemiskinan tetap kerajaan dengan RM760 bagi semenanjung, RM910 bagi Sarawak, dan RM1,050 bagi Sabah, insiden kemiskinan mencatatkan 1.0% pada 2014.

Jika insiden kemiskinan diukur dengan kadar kemiskinan relatif (relative poverty rate) yang merupakan separuh daripada pendapatan penengah (median income), maka kadar garisan kemiskinan adalah RM1,813, atau separuh daripada pendapatan penengah RM3,626. Implikasinya adalah 20% isi rumah berada di bawah paras kemiskinan pada 2012.

Jelas bahawa kadar kemiskinan relatif adalah lebih relevan dalam sebuah masyarakat yang sedang membangun seperti Malaysia kerana ia mengukur jumlah isi rumah yang terletak jauh daripada pendapatan penengah, di mana isi rumah yang berada di bawah 50% daripada pendapatan penengah dianggap miskin. Maka semakin kecil kadar kemiskinan relatif, lebih saksama sesebuah masyarakat.

Ukuran kemiskinan relatif ini dapat membantu pembuat dasar memahami ketaksamaan pendapatan relatif dalam masyarakat. Namun ukuran kaedah kemiskinan mutlak kekal penting untuk memastikan tiada isi rumah yang terjatuh ke dalam kancah kemiskinan tegar.

RMK-10 juga menyasarkan peningkatan purata pendapatan isi rumah 40% terendah daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM2,300 pada 2015. Dijangka purata pendapatan isi rumah 40% terendah akan mencapai sasaran pada 2015. Walau bagaimanapun, peningkatan purata pendapatan tidak bererti pengurangan jurang pendapatan (income gap).

Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 mendapati purata pendapatan isi rumah bagi semua kelas pendapatan meningkat sejak 1970, namun jurang pendapatan tidak banyak berubah sejak 1990.

Jurang pendapatan relatif di antara 20% teratas dengan 40% terendah adalah hampir sama sepanjang 1990-2012 iaitu sebanyak 7 kali; manakala jurang pendapatan relatif di antara bandar dan luar bandar juga kekal sama sebanyak 1.8 kali sepanjang tempoh yang sama.

Sesungguhnya, pembentangan fakta dan realiti yang berkaitan dengan sasaran utama: kadar pertumbuhan ekonomi, kadar tenaga kerja berkemahiran tinggi, kadar pertumbuhan upah, insiden kemiskinan dan jurang pendapatan cukup memperlihatkan kegagalan RMK-10 sebagai rancangan jangka pertengahan menuju ke arah Wawasan 2020.

Hakikatnya Malaysia masih tidak mempunyai dasar industri yang berwawasan dan berdaya untuk membangunkan industri yang mempunyai nilai tambah yang tinggi (higher value-added) bagi menambahkan kekayaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi. Lima tahun dari 2020, Malaysia masih terperangkap dalam pembuatan produk pertanian, galian dan barang pengantara.

Dengan Keluaran dalam Negeri Kasar 55% pada 2014, sektor perkhidmatan masih merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, namun 45% daripada sektor perkhidmatan merupakan perdagangan edaran, makanan dan minuman, serta penginapan, yang potensi mereka amat terhad untuk eksport dan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Upah dan gaji akan meningkat jika wujudnya persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan pertumbuhan industri yang baru dan berdaya, serta pekerja dijamin hak untuk merundingkan gaji yang saksama. Namun kerajaan Barisan Nasional menolak permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk meningkatkan paras gaji minima.

Malah barangkali peniaga yang mempunyai hubungan politik mengawal ekonomi utama negara dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mempertahankan industri lama dan membuat pelaburan yang merugikan negara, bukannya membangunkan industri baru. Kebanyakan fokus dalam ETP dan RMK-10 adalah memperluaskan persaingan yang sedia ada dan bukannya membangunkan potensi berasaskan kemahiran dan pendidikan, sepertimana yang dilakukan Korea Selatan dan Jepun untuk mecapai pembangunan bertaraf tinggi.

Perdana menteri menyatakan RMK-11 bakal mengutamakan pertumbuhan inklusif. Namun "kompas" yang tidak berfungsi tidak akan membawa ke arah yang betul. Akhirnya Wawasan 2020 hanya tinggal bayangan berupa genangan air di tengah padang pasir yang dahagakan reformasi politik demi aspirasi rakyat dan martabat bangsa.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .