» » Penyimpan Tabung Haji mengamuk di Facebook kerana skandal pembelian tanah 1MDB



Tindakan Tabung Haji (TH) membeli tanah milik syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencetuskan kemarahan seorang pencarum yang mengirim reaksinya di laman Facebook

Bagi Rohana Kamarudin, seorang penabung TH, ia tidak wajar kerana wang yang dikumpulkan melalui TH bertujuan membolehkan pencarum menunaikan fardu haji satu hari nanti, bukan dilaburkan untuk menyelamat mana-mana pihak.

"Astaghfirullah! Pengkhianatan sangat-sangat jahat dan sudah melampau apabila penguasa 1Malaysia di bawah PM menipu wang para penabung Tabung Haji yang semuanya adalah beragama Islam," tulis Rohana dalam Facebook.

TH hari ini mengesahkan pembelian tanah Fasa 1 Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan harga RM188.5 juta tetapi menafikan pembelian tanah lain di situ seperti dilaporkan beberapa blog.

Rohana berpendapat, tindakan ini perbuatan khianat dan jahat apabila PM mengarahkan Tabung Haji membeli tanah milik 1MDB itu.

Ini ditambah lagi dengan pendedahan harga tanah asal dibeli 1MDB cuma RM7/kaki persegi, manakala Tabung Haji membayar 1MDB pada kadar RM3,000/kaki persegi.

"Terang-terangan kamu menipu TH dengan mengambil duit penabung TH secara tidak bermoral. Sebagai penyimpan TH aku tidak akan memaafkan kamu wahai PM!" tulis Rohana.

Rohana berkata beliau menyimpan dengan TH sepanjang hidupnya.

"Memang marah sangat sebab Kak Ana simpan the whole of my life saving (keseluruhan hidup saya) dalam TH dan dia mudah-mudah saja ambil duit kita," kata Rohana.

Baginya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sengaja melantik Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi TH "supaya senang nak cucuk hidung".

Sebelum ini, Rohana berkata, beliau menghubungi salah seorang ahli lembaga pengarah TH untuk mengesahkan perkara itu.

"Sebelum posting status ni Kak Ana confirmed doh dulu dengan salah seorang ahli lembaga pengarah TH... namun dia tidak terlibat dengan keputusan ini," beritahu Rohana.

Walaupun semalam Azeez menafikan dana kumpulan itu digunakan untuk urusan jual beli tanah 1MDB, hari ini ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Johan Abdullah mengesahkan pembelian tanah itu untuk projek Tun Razak Exchange (TRX), iaitu salah satu projek pembangunan utama oleh 1MDB.

Johan berkata dana yang dilaburkan untuk tanah itu merangkumi pelan menara kediaman yang bernilai RM188.5 juta.

Beliau bagaimanapun menafikan syarikat itu membeli tanah lain daripada 1MDB untuk pembangunan TRX.

"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata RM188.5 juta yang dibayar untuk pembelian hartanah itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa selepas dinilai badan penilai bebas.

Johan berkata, cadangan pembangunan kediaman itu akan dibangunkan anak syarikatnya, TH Properties Sdn Bhd, yang dijangka memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa depan.

“Langkah ini selaras dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

“Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci,” katanya.

Seorang lagi penyimpan dalam TH, Mohd Hilmi Radzuan berkata peranan yang dimainkan TH sekarang adalah untuk menyelamatkan kroni BN yang dalam kelemasan.

"Akhirnya Tabung Haji akui mereka membeli tanah-tanah tersebut dari 1MDB. Akhirnya kita tahu bagaimana ‘amanahnya’ Tabung Haji menguruskan duit pencarum.

"Betapa besarnya peranan Tabung Haji menjadi penyelamat kepada kroni BN saat mereka kelemasan," tulis Hilmi dalam Facebooknya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Zainol Abidin Mohamed turut menyindir TH dengan menulis:"Duit pencarum Tabung Haji digunakan untuk membeli hartanah milik 1MDB. Apakah wang Tabung Haji digunakan untuk selamatkan kroni Najib-Umno-BN.”

"Sudah tiba masanya para mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim dan tokoh agamawan memberikan ulasan terhadap perkara ini.

"Apa pun, tahniah buat pengundi BN. Hidup Melayu," sindirnya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .