» » OKU berdepan proses rumit untuk dapat pelepasan GST


Proses bagi membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi peralatan dan kelengkapan mereka dianggap sesuatu yang rumit dan membebankan, menurut Persatuan Damai OKU Malaysia.

Presidennya, V. Murugeswaran, berkata proses yang memerlukan golongan OKU mengemukakan sijil perakuan ditandatangani ketua organisasi pertubuhan amal swasta, yang mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memakan masa yang lama untuk diproses, dan membebankan mereka ekoran keadaan fizikal mereka.

"Ini memang satu proses yang menyusahkan. Mereka (kerajaan) kena faham. OKU ini juga tengok keadaan, kalau dia tak ada pengangkutan sendiri, dia terpaksa meminta bantuan orang, dan kadang-kadang orang pun bukan selalu nak tolong," katanya.

Murugeswaran yang lumpuh kedua-dua belah kaki berkata, disebabkan kerumitan prosedur tersebut, golongan OKU terpaksa memilih membayar dengan harga biasa di pasaran.

"Perkara seperti ini, kalau kita menyusahkan orang lain semata-mata untuk mendapatkan kelepasan itu, lebih baik kami bayar GST daripada melalui proses yang begitu susah untuk mendapatkannya.

"Sebab, proses itu sendiri akan membuatkan kami membayar lebih dari segi kos pengangkutan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, peralatan dan kelengkapan yang diberikan pengecualian cukai itu merupakan barangan yang boleh digunakan pada jangka masa yang lama dan tidak banyak meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya seorang OKU yang menggunakan kerusi roda. Jika saya belinya hari ini, mungkin boleh guna sepanjang umur kalau saya jaganya dengan baik.

"GST ini pelepasannya barang-barang seperti ini saja. Bagaimana dengan kegunaan harian OKU yang tidak dikecualikan?

"Seperti barang-barang OKU yang mengalami kecederaan spinal, mereka memerlukan lampin untuk kegunaan harian kerana mereka mengalami hilang daya untuk buang air kecil dan air besar.

"Jadi barang-barang ini mereka perlu beli pada setiap bulan. Jadi saya nak tanya adakah barang-barang ini dikecualikan daripada GST?" soalnya.

Pada masa sama, Murugeswaran berkata, kerajaan memperuntukkan RM300 setiap bulan kepada golongan OKU berpendapatan rendah, namun sekiranya barang harian lain tetap dikenakan GST, wang itu seolah-olah diambil semula kerajaan.

"Banyak keperluan asas untuk golongan OKU ini belum capai di tahap yang memuaskan.

"OKU ini bukan golongan kategori yang berpendapatan tinggi tapi rakyat berpendapatan paling rendah.

"Kerajaan kaya tetapi OKU macam kami ini miskin. Saya nak minta Jabatan Kastam jangan berdiam diri sampai OKU ini merana, baru nak tolong.

"Saya nak mereka buat perjumpaan dengan OKU lebih kerap. Dengan memberi kenyataan media sahaja tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Keluhan sama dibuat pengurus Pusat Jagaan OKU Nur di Kuala Lumpur, Normah Adlan, yang merasakan prosedur yang ditetapkan kastam itu akan memakan masa panjang.

Normah berkata prosedur tersebut menyusahkan dan membuatkan golongan OKU atau penjaga berputus asa untuk meneruskan permohonan bagi mendapatkan potongan separuh harga bagi kerusi roda untuk penduduk di rumah jagaannya.

"Pelbagai prosedur yang ditetapkan membuatkan kami putus asa. Kena mohon banyak kali baru dapat dan pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan meminta kami tunggu untuk jawapan status permohonan," kata Normah.

Beliau memberi contoh pembelian kerusi roda, yang terpaksa melalui prosedur yang "leceh" bagi mendapatkan separuh harga.

"Akhirnya saya belikan terus untuk mereka (warga OKU di pusat jagaannya)," katanya, yang berkata kerusi roda paling murah berharga RM600.

Katanya, pelbagai proses demikian turut membebankan penjaga golongan OKU.

"Kita yang menjaga dia, rasa susah juga sebab kena angkat mereka, kena hantar mereka pergi hospital, sana sini dan lain-lain.

"Bukan golongan OKU sahaja susah tapi orang bukan OKU pun susah," kata Normah, yang berkata 90% daripada 50 orang di pusat jagaannya merupakan golongan OKU.

Isnin lalu, Pengarah GST Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy mengumumkan pelepasan cukai itu dan menjelaskan walaupun golongan OKU mempunyai kad OKU yang sah, mereka masih perlu mendapatkan sijil perakuan ditandatangani ketua organisasi yang berkaitan.

Menurut perintah itu, barangan yang diberikan pengecualian cukai adalah anggota badan tiruan, kerusi roda, tempat tidur elektrik atau penyesuian mekanikal yang direka untuk yang kurang upaya daripada segi fizikal dan bahan Braille.

Antara keperluan lain ialah teks telefon untuk orang cacat pertuturan, cawan khas dan tongkat putih untuk cacat penglihatan, kasut khusus dan alat bantuan pendengaran dan penglihatan.

Namun pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, ramai golongan OKU yang tidak jelas barangan yang dikecualikan dan diberi pelepasan GST.

Ng juga mempertikaikan prosedur kastam itu dan menganggap ia sesuatu yang membebankan mereka.

"Kenapa proses itu merumitkan? Ramai lagi individu kurang upaya yang bukan daripada ahli organisasi OKU yang berdaftar dengan JKM, terutamanya mereka yang berada di kawasan pendalaman."

Beliau berkata, pihak kastam tidak boleh mengharapkan individu yang mempunyai kesukaran bergerak boleh pergi ke sesuatu tempat, semata-mata bagi mendapatkan pengesahan dokumen.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .