Susulan "pengakuan" Datuk Seri Najib Razak yang beliau mempunyai kepentingan langsung dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Lim Kit Siang hari ini menggesa beliau tidak terlibat dalam proses penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes itu.
Ini bagi mengelak wujud percanggahan kepentingan memandangkan perdana menteri sebelum ini berkata dalam ruangan Soalan Lazim di blognya, keputusan kes Altantuya memberi keadilan kepada semua, termasuk beliau sendiri, kata penasihat DAP itu.
Lim merujuk kepada kenyataan Najib dalam www.najibrazak.com yang berbunyi: “What is important is that the judgment brings justice to everyone, most importantly to the family of the victim, to the accused and even to me.”
Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata, Najib patut menarik diri daripada semua proses, bermula dengan peringkat membuat keputusan sama ada untuk menubuhkan RCI berhubung kes Altantuya atau tidak.
"Memandangkan Najib mengakui mempunyai kepentingan langsung dalam kes Altantuya, beliau patut menarik diri daripada sebarang proses memutuskan sama ada perlu ditubuhkan RCI berkenaan pembunuhan Altantuya demi mengelak konflik kepentingan.
"Ia (tulisan di blog) pengakuan jelas beliau mempunyai kepentingan langsung dalam kes tersebut, meski menggunakan bahasa penafian yang begitu lunak menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan, dan juga sumpah laknatnya," katanya.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berpendapat, kes Altantuya yang dimuktamadkan di mahkamah pada Januari dengan hukuman mati ke atas dua tertuduh, bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, gagal memberi keadilan kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa, individu tertuduh dan Najib sendiri.
"Ini kerana kes itu tidak menjawab dua persoalan besar yang mempunyai kepentingan awam, iaitu siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh dan sama ada terdapat konspirasi senyap yang melibatkan pihak polis, Peguam Negara dan juga badan kehakiman serta pihak lain bagi mengelak siasatan terhadap motif pembunuhan itu," kata Lim.
Beliau juga mengajukan soalan kepada Najib sama ada beliau bersedia mengumumkan beliau sedar wujudnya konflik kepentingan dan tidak akan terlibat dalam apa jua proses membuat keputusan mengenai RCI itu.
"Selanjutnya, sama ada perdana menteri akan membenarkan Kabinet atau Parlimen memutuskan secara bebas sama ada RCI terhadap pembunuhan Altantuya wajar ditubuhkan."
sumber
No comments: