Saya fikir hanya mereka yang duduk di Kuala Lumpur dengan berpendapatan rendah sahaja yang merasai "nikmat" hidup bersama GST.
Ternyata saya silap.
Kesan cukai ini meresap ke dalam kehidupan seharian penduduk di Malaysia dan tidak terkecuali mereka yang tinggal di daerah Manjung, Perak.
Pelanggan semakin kurang membeli barang kerana harga semakin naik dan ini menyebabkan kuasa membeli semakin kurang.
Sementara peniaga pula ada yang menaikkan barang sesuka hati kerana penguatkuasaan yang lemah.
‘’Ni lepas GST ada rasa beza tak puan?’’ soal saya kepada seorang petugas di sebuah klinik berdekatan dengan rumah saya.
‘’Oh rasa dik. Katanya GST ni tak membebankan rakyat tapi nampak gaya memang membebankan rakyat.
Kalau katakan satu barang tu kena GST 6 sen tapi kalau dah sepuluh, dua puluh barang, kan banyak tu kena GST.
Orang macam kita ni memang dapat rasa kesan GST. Memang lain.’’
Perbualan yang singkat ini membuatkan saya terfikir sesuatu.
Selain daripada gaya hidup para pemimpin yang tidak berubah selepas rakyat tertekan dengan cukai ini, kerajaan juga tidak menyediakan inisiatif jangka panjang untuk menghadapi GST.
Jawapan yang sering didengari rakyat ialah: Kerajaan dah beri BR1M.
Tetapi...apa yang boleh dibeli dengan pemberian BR1M dengan kenaikan harga barang ketika ini? Sudahkah dibuat kajian atau tinjauan sama ada BR1M ini benar-benar berkesan membantu rakyat menghadapi GST?
Pada masa yang sama, tiada kenaikan gaji diberikan kepada kakitangan awam. Gaji minimum swasta pun tidak dinaikkan.
Mahasiswa-mahasiswi terus dihimpit dengan "kecelakaan" cukai yang maha membebankan ini kerana mereka hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN dan biasiswa.
Itupun sudah ada universiti yang menaikkan yuran pengajian kerana GST.
Dan ini belum cerita lagi tentang mereka yang duduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jadi, apa yang kerajaan buat untuk membantu golongan-golongan sebegini?
Saya khuatir...kalau kehadiran cukai ini bukan sahaja membebankan rakyat tetapi memiskinkan lagi rakyat apabila pendapatan yang dimiliki tidak mampu menampung perbelanjaan harian.
Saya khuatir kalau-kalau prediksi yang dilakukan dalam karya terbaru saya ini akan benar-benar terjadi di Malaysia:
‘’Kemiskinan adalah satu-satunya perkara yang tidak patut dan perlu dihapuskan supaya rakyat tidak bangkit memberontak. Kemiskinan adalah tanda penindasan; semakin besar kemiskinan semakin besar penindasan yang dilakukan terhadap rakyat.
Kemiskinan sangat intim kaitannya dengan penderitaan dan rakyat akan bangkit berevolusi atas nama penderitaan’’- Tuhan Bukan Manusia.
Walaupun hanya sekejap sahaja pulang ke Manjung, ternyata kesan cukai ini bukan sahaja dirasai penduduk bandar tetapi juga penduduk-penduduk semi urban dan desa.
Dan kalau penduduk luar bandar pun sudah merasakan penindasan GST ke atas mereka, saya nasihatkan kerajaan supaya mengambil langkah yang produktif untuk membela nasib rakyat yang tertekan dilanda GST.
Kerana kalau rakyat tidak melakukan revolusi jalanan, jangan fikir tidak ada cara lain untuk melakukan revolusi.
Kerana revolusi peti undi juga boleh mengubah masa depan kerajaan masa kini.
No comments: