Pengesahan perdana menteri, ketiga-tiga dana awam utama iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Urusan Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melabur di dalam 1MDB dan anak-anak syarikat berkaitan 1MDB mempunyai kesan yang besar kepada rakyat.
Skandal 1MDB kini bukan sahaja berkisar kepada tuduhan-tuduhan penyelewengan dana 1MDB, malah ia turut membabitkan persoalan adakah pelaburan ketiga-tiga dana awam utama ini akan selamat. Kebimbangan pencarum dan pendeposit kepentingan mereka tidak diutamakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak adalah keresahan yang menular di bawah.
Sebagai sebuah NGO yang peka kepada isu-isu yang melibatkan dana rakyat seperti ini, NOW (National Oversight & Whistleblowers) mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa orang ahli Parlimen menggerakkan satu kempen dan tindakan bersama dengan tujuan menghentikan penglibatan dana awam di dalam 1MDB.
Kempen yang dinamakan “Tutup 1MDB, Kembalikan Wang Rakyat” ini mempunyai beberapa sasaran utama:
1. Mengambil tindakan saman dalam bentuk injuksi terhadap KWSP, TH dan KWAP (dan mana-mana dana awam lain yang terbukti ada membuat pelaburan di dalam 1MDB) supaya dana awam ini tidak membuat sebarang pelaburan atau pinjaman kepada 1MDB bermula dari hari ini
2. Melantik sebuah badan kajiselidik bebas untuk membuat satu kajiselidik menentukan sama ada pencarum dan pendeposit mahukan ketiga-tiga dana awam ini melupuskan semua pelaburan sedia ada di dalam 1MDB sebagai isyarat suara rakyat
3. Melantik sebuah badan kajiselidik bebas untuk membuat satu kajiselidik menentukan sama ada rakyat menyokong gesaan supaya 1MDB ditutup
4. Taklimat-taklimat kepada pencarum dan pendeposit ketiga-tiga dana awam ini di bandar-bandar utama untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai kempen ini secara langsung
5. Menggalakkan pencarum dan pendeposit menyumbang RM10 seorang kepada kempen untuk membiayai tindakan undang-undang dan kajiselidik dengan sasaran mengutip RM20,000 (kos memfailkan tindakan undang-undang dan kos kajiselidik)
Permohonan injuksi terhadap KWSP, TH dan KWAP dijangka akan difailkan menjelang 29 Mei 2015 atas asas pengurusan dana-dana tersebut leka, cuai dan tidak berhati-hati apabila membuat pelaburan di dalam 1MDB yang akan mendedahkan pencarum dan pendeposit kepada risiko kerugian.
Permohonan injuksi terhadap KWSP dan TH akan difailkan saya sendiri atas kapasiti saya sebagai pendeposit di dalam KWSP dan TH. Permohonan injuksi terhadap KWAP akan difailkan secara bersama Datuk Johari Abdul, ahli Parlimen Sungai Petani dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, mantan ahli Parlimen Machang.
Taklimat pertama mengenai kempen “Tutup 1MDB, Kembalikan Wang Rakyat” akan dibuat pada 3 Jun 2015 (Rabu) jam 830 malam di Auditorium MPAJ, Pandan Indah. Saya menjemput seberapa ramai pencarum dan pendeposit KWSP, TH dan KWAP untuk turut sama hadir bagi mendengar sendiri langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan tiada risiko kerugian dana-dana tersebut. NOW akan menganjurkan taklimat yang sama di bandar-bandar besar seluruh negara selepas itu.
Saya juga menyeru supaya pendeposit dan pencarum KWSP, TH dan KWAP menyumbang RM10 kepada usaha ini bagi mendapatkan sasaran pembiayaan RM20,000. Sumbangan RM10 setiap pencarum ini boleh dibuat terus ke akaun NOW seperti berikut:
Nama : Oversight and Whistleblowers Sdn Bhd
Bank : Maybank
No akaun: 562441603039
Sumbangan RM10 setiap pencarum ini juga boleh dibuat melalui internet/kredit kad di laman NOW di alamat http://donate.nowmalaysia.org/
NOW percaya hanya tindakan proaktif rakyat yang akan dapat memastikan wang simpanan rakyat dalam dana-dana ini tidak terus terheret dalam menyelesaikan skandal kewangan 1MDB.
No comments: