Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa semua pihak termasuk blogger tidak meragui siasatannya terhadap syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas hanya akan merosakkan siasatan 1MDB dan seterusnya menggagalkan kerja siasatan.
“Tuduhan dan tohmahan beginilah yang akhirnya akan merosakkan siasatan 1MDB.
“Tuduhan melulu yang belum dapat dibuktikan ini dan pelbagai tuduhan lain yang akan mewarnakan siasatan 1MDB akhirnya akan menyebabkan siasatan ini tak berjaya.
“Saya minta dia dan blogger lain untuk hentikan tuduhan dan tohmahan dan tidak mewarnakan siasatan 1MDB,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menerusi entri terbaru blognya hari ini mempersoalkan sama ada ahli PAC cuba mensabotaj jawatankuasa siasatan 1MDB.
Kadir turut melampirkan senarai 13 ahli PAC yang terdiri daripada 8 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan lima ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Jazlan berkata tidak wajar meragukan usaha PAC dalam melakukan siasatan ke atas 1MDB kerana ia hanya akan menghalang siasatan dapat dijalankan secara telus.
Katanya, keseriusan PAC dalam melakukan siasatan ke atas 1MDB dapat dibuktikan apabila mendahului hasil audit yang dilakukan Jabatan Audit Negara.
“Kita dah mula dan akan terus panggil saksi. Maknanya kita mendahului ketua audit. Saya tak faham maksud tuduhan itu.
“Dalam siasatan ini, yang ada hak untuk memanggil, PAC. Kenapa sekarang ahli PAC diragukan, dipersoalkan? Macam mana kita nak buat siasatan yang telus dan bermakna.
“Saya minta hentikan tuduhan dan kami di PAC tidak mahu didorong mana-mana pihak atas tujuan politik,” katanya.
PAC pada Selasa memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Yusoff, serta pegawai kanan kedua-dua jabatan dalam prosiding pertama mereka.
Jazlan berkata, PAC akan memanggil saksi yang mewakili pengurusan syarikat dan seterusnya lembaga pengarah, serta firma audit yang terlibat dalam mengesahkan kedudukan kewangan syarikat.
"Pada 26 Mei ini, pengurusan syarikat 1MDB ketika ini, diketuai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi akan hadir di hadapan jawatankuasa ini untuk memberikan penjelasan berhubung prosiding sama," katanya.
sumber
No comments: