» » Guru Kafa tuntut kenaikan elaun dipecat JAIS


Guru sambilan Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham dipecat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas lantang menuntut kenaikan elaun Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) daripada kerajaan Selangor.

Ekhsan, 24, menerima surat tamat perkhidmatan daripada pegawai Jais sendiri, berkuatkuasa 1 Jun depan.

"Wakil Jais sendiri hantar ke sekolah pukul 1 tengahari semalam," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Katanya, notis itu juga menyatakan pampasan akan diberikan kepadanya memandangkan notis Jais itu tidak sampai tempoh sebulan, namun tidak diketahui jumlah pampasan yang akan diterima.

"Dia kata tak dapat bagi notis sebulan jadi dia gantikan dengan pampasan sebulan kerana sepatutnya dia bagi 1 Mei... tak pasti berapa jumlah tapi kalau ikutkan RM1,212."

Katanya, beliau tidak rasa sedih dan kecewa kerana sudah menjangkakan keputusan Jais ini akan terjadi, malah mendapat semangat dan sokongan daripada guru Kafa lain di luar Selangor yang mahu isu kenaikan elaun diperjuangkan.

"Ramai guru Kafa bukan sahaja di Selangor tetapi Kelantan, Negeri Sembilan, dan Sabah yang menghubungi dan whatsapp menyatakan simpati dan mahu membantu saya.

"Jadi saya rasa ini bukan perjuangan saya seorang tetapi saya membawa harapan kepada seluruh guru Kafa."

Katanya, butiran lanjut akan didedahkannya pada sidang media esok yang akan diadakan di pintu pagar utama Bangunan SUK Selangor di Shah Alam, pagi esok.

Ekhsan pada 8 April lalu menimbulkan kekecohan di pintu masuk lobi semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mahu berjumpa menteri besar Mohamed Azmin Ali dan exco, menuntut janji kerajaan negeri menaikkan elaun guru Kafa daripada RM1,300 kepada RM1,500 sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13 ) lalu.

Ekoran itu, beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Jais, malah mendakwa diugut dibuang kerja oleh pegawai Jais jika terus berdegil membuat kenyataan terbuka di media.

Kerajaan Selangor sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan rakyatnya bermula daripada RM1,500 memandangkan tarafnya sebagai negeri paling maju, berbeza dengan Putrajaya yang menetapkan Purata Garis Kemiskinan Kebangsaan dengan kadar RM830 bagi setiap isi rumah.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .