» » Gesa pengamal media jangan lapor khabar angin


Datuk Seri Najib Razak menyarankan kepada pengamal media agar melaporkan berita yang bersifat membina dan bukannya merosakkan pembaca.

Perdana menteri turut meletakkan 5 kriteria penting garis panduan yang seharusnya diamalkan semua pengamal media termasuk media sosial.

"Semua pengamal media termasuk media sosial terutamanya kita perlu bersikap profesional dalam erti kata sebenar sentiasa bertanggungjawab.

"Kita mesti melaporkan sesuatu isu itu berdasarkan fakta yang sahih dan tepat dan bukan andaian ataupun khabar angin walaupun kita berlumba-lumba nak keluarkan berita tetapi kita kena pasti apa yang kita laporkan itu fakta tepat dan benar.

"Kita mesti beri pandangan dan kritikan yang bersifat membina atau konstruktif bukan rosakkan atau destruktif," katanya semasa berucap pada Malam Perdana Media di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau turut menegaskan supaya pengamal media sama ada dari kalangan media arus perdana ataupun media atas talian menolak unsur-unsur fitnah, perkauman ataupun menyentuh isu-isu sensitif yang membabitkan soal agama.

Katanya kerajaan menganggap pihak media sebagai rakan kongsi.

Berita pada masa ini juga tersebar di sosial media dan diberi respons dalam masa yang singkat, kata Najib.

"Inilah realiti baharu yang terpaksa kita buat penyesuaian dalam cara kita bekerja," katanya.

Pada masa sama, Najib berkata Malaysia mempunyai kadar penggunaan telefon pintar melebihi 140% berbanding bilangan penduduk negara ini, menjadikannya penggunaan telefon pintar di Malaysia lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dan kebanyakan negara lain.

"Dengan keadaan yang sedemikian, kita perlu juga memahami trend baharu di mana pengguna Instagram, Facebook, Twitter dan mesej-mesej berantai melalui aplikasi Whatsapp, Wechat dan Telegram menjadi medium yang popular di kalangan masyarakat mengakses maklumat berkaitan dengan sesuatu. Kita juga mesti tahu apa yang jadi trending dan apa yang akan menjadi viral," katanya.

Sementara itu, Najib turut menyentuh keadaan ekonomi negara.

"Walaupun kita berjaya menguruskan ekonomi negara, jangan lupa kita juga sebahagian daripada 'nation building'.

"Apabila kita sebut tentang nation building, kita mesti pupuk dengan nilai yang baik dan positif seperti wasatiyah atau kesederhanaan antara satu sama lain, semangat dan prinsip 1Malaysia supaya kita ada perasaan kerjasama sesama kita," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .