PKR menggesa Putrajaya mengesahkan jika Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) ada membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa menerima maklumat Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu taklimat kepada Kabinet menunjukkan surat perjanjian jual beli dan sewa semula tanah itu.
Beliau menggesa Husni mendedahkan isi kandungan surat itu memandangkan pihak-pihak yang terlibat menandatanganinya terikat secara undang-undang kepada perjanjian itu.
Menurut Rafizi, perjanjian begitu biasanya ditandatangani sebagai perjanjian awal sewaktu pihak yang terlibat terus merundingkan syarat perjanjian dengan lebih teliti.
Menurutnya, pelaburan itu adalah berisiko tinggi kerana pembelian tanah TRX oleh KWAP melibatkan pembayaran kepada 1MDB dengan pulangannya hanya dapat diperolehi jika projek itu lengkap.
"Jika pembangunan ini disiapkan pun, belum tentu 1MDB berjaya mendapatkan sewaan penuh bagi bangunan milik 1MDB ini," kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.
Putrajaya semalam mengesahkan KWAP mempunyai sejumlah RM1.4 bilion pelaburan dalam syarikat 1MDB melalui anak-anak syarikatnya.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak berkata, jumlah itu adalah pelaburan KWAP dalam anak-anak syarikat 1MDB seperti Bandar Malaysia Sdn Bhd, 1MDB Energy Limited, 1MDB Global Investment Limited, dan Jimah Energy Ventures Bhd setakat 31 Mac 2015.
sumber
No comments: