» » Demo besar-besaran akan dibuat jika Azeez tidak letak jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji


Demonstrasi besar-besaran akan dianjurkan PAS sekiranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim d‎an ahli lembaga pengarah yang berkepentingan dalam 1MDB masih enggan meletakkan jawatan, kata seorang pemimpin Dewan Ulama PAS.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata parti itu hari ini menggerakkan ahlinya membuat laporan polis di seluruh negara mengenai isu pelaburan Tabung Haji, yang baru-baru ini mengaku membeli sebidang tanah daripada syarikat bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kita mahu perkhidmatan Azeez dan ahli lembaga pengarah yang terlibat dengan 1MDB segera ditamatkan. Tabung Haji jangan jadi 'pak angguk' kepada pengkhianatan dana awam.

"Kalau tidak selesai, kita akan buat himpunan besar-besaran bersama rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengurus Besar Kanan Jabatan Sumber Manusia Tabung Haji, Hisham Harun, di perkarangan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak hari ini.

Kira-kira 200 penyokong berhimpun selepas solat Jumaat membantah tindakan Tabung Haji membuat pelaburan hartanah sejumlah RM188.5 juta daripada 1MDB.

Walaupun Tabung Haji memutuskan menjual plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) seluas ‎1.56 ekar itu, PAS masih menganggap Azeez dan pengurusan tertingginya gagal menguruskan wang pendeposit bakal haji dengan jujur dan amanah.

PAS dalam memorandum itu membantah penggunaan dana awam Tabung Haji kerana tidak mahu terjebak dengan skandal kewangan 1MDB yang masih dalam proses siasatan.

Ia mendesak Tabung Haji memohon ‎maaf kepada rakyat Malaysia khususnya pendeposit kerana tidak cermat dalam menguruskan transaksi pembelian tanah tersebut.

Tabung Haji juga, kata Khairuddin, perlu membatalkan semua urusniaga dengan mana-mana perniagaan melibatkan 1MDB termasuk pembelian sukuk, selagi proses audit belum selesai.

Turut hadir berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras Khairuddin Othman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ridhwan Mohd Noor, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad, dan Ketua Muslimat PAS WP, Nuridah Salleh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kes kebocoran dokumen rasmi urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji seperti dimuat naik sebuah blog awal bulan ini.

Katanya, siasatan bertujuan mengenal pasti wujudnya unsur penyelewengan dan pelanggaran tatatertib oleh ahli lembaga pengarah Tabung Haji mengikut Akta Syarikat.

Selepas bantahan meluas, Tabung Haji mengumumkan akan menjual tanah tersebut kepada pihak swasta.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .