Malah dikatakan cadangan ini merupakan cadangan Jawatankuasa Fiskal dan Bank Negara untuk membantu 40% rakyat (berpendapatan rendah) dan tidak bermaksud politik, mahu pun untuk membeli undi.
BR1M yang kini berada di tahun 4 “penubuhannya” menelan perbelanjaan sebanyak RM14.3 bilion di mana jumlah ini adalah lebih banyak daripada jumlah pembinaan tiga (3) buah jambatan kedua Pulau Pinang.
Pemberian BR1M ini diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dengan nilai sebanyak RM500 pada tahun pertama dan tahun kedua, RM700 (merangkumi bantuan insurans Takaful Berkelompok Rakyat Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50) pada tahun ketiga dan RM950 (merangkumi Skim Khairat Kematian) pada tahun keempat.
BR1M juga diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 pada tahun 2014 dan RM750 pada tahun ini (2015).
Tidak ketinggalan, individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 ke atas dengan nilai bantuan sebanyak RM250 pada tahun 2013, RM300 pada tahun 2014 dan RM350 pada tahun ini (2015).
Pemberian ini dikatakan adalah untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan tidak bermotifkan politik mahupun untuk membeli undi.
Namun, apa yang menjadi persoalan di sini adalah mengapa Barisan sangat mengagung-agungkan BR1M sehingga BR1M ini dijadikan antara modal berkempen dan senjata utama dalam manifesto mereka semasa PRU13?
Lihat sahaja dalam “Aku Janji” ataupun lebih tepat Manifesto Barisan PRU13 di muka surat 7 tertera dengan jelas ayat berkaitan BR1M yakni; “Dalam tempoh 5 tahun ini, kami berjanji untuk menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan”.
Apa yang menarik di sini adalah, BR1M ini diletakkan dalam posisi pertama (1) dalam manifesto tersebut seolah-olah BR1M ini sememangnya “Modal Utama Barisan” dalam mendapatkan sokongan pengundi.
Dalam konteks ini, pemahaman mengenai manifesto menjadi titik utama persoalan sama ada BR1M ini bermotifkan politik ataupun tidak.
Apa yang perlu kita fahami adalah, manifesto merupakan satu penyataan, janji atau deklarasi secara bertulis yang digunakan seseorang atau sebuah parti politik semasa kempen pilihan raya bagi mendapat perhatian, simpati dan sokongan pengundi.
Berdasarkan pendefinisian ini, kenyataan perdana menteri yang mengatakan BR1M tidak bermotifkan politik mahu pun untuk membeli undi sememangnya satu perkara yang tidak boleh diterima, malah boleh disangkal kerana hakikatnya pemberian BR1M ini merupakan salah satu manifesto Barisan dalam mendapatkan undi.
No comments: